Rakyat Digesa Berpegang Kepada Agama Jadikan Malaysia Negara Hebat


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat Malaysia tanpa mengira agama untuk berpegang kepada ajaran agama masing-masing untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat.

Beliau berkata ini kerana usaha untuk menjadi negara yang hebat adalah berpandukan dalam ajaran setiap agama yang menggalakkan keamanan dan keharmonian.
"Ingat, berpegang kepada ajaran agama kamu kerana jawapannya ada di sana.

"Anda harus seorang yang berpegang teguh kepada agama tidak kira sama ada anda beragama Kristian, Islam atau Buddha," kata beliau pada majlis makan malam anjuran Pergerakan Kristian untuk Keamanan dan Keharmonian Malaysia (CPHM) semalam.

CPHM ialah sebuah pergerakan akar umbi yang dicetuskan oleh sekumpulan pemimpin Kristian untuk mewujudkan suasana saling menghormati, toleransi dan sikap menerima antara rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan latar belakang agama dengan memupuk keamanan dan keharmonian di negara ini.

Datuk Seri Najib berkata, rakyat Malaysia perlu membina perhubungan untuk memahami satu sama lain dengan lebih baik selain mengamalkan semangat memberi dan menerima.

"Semua kaum harus belajar untuk mempercayai satu sama lain di samping memahami budaya lain untuk memupuk keharmonian. Pemahaman yang mendalam antara satu sama lain boleh mewujudkan persekitaran sosial dan keamanan yang lebih kukuh," katanya.

Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang aman, rakyat Malaysia perlu berusaha untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian melalui tindakan, bukan dengan kata-kata.

"Kita harus bermula dengan mengenali satu sama lain dan mempunyai pemahaman yang mendalam antara satu sama lain selain bersikap merendah diri dan menerima semua perbezaan," katanya.

Sumber - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.