Sesi Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO Kembali Kepada Tradisi #PAU2016


Sesi penggulungan untuk Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan kembali kepada tradisinya iaitu ucapan penggulungan akan dilakukan oleh pucuk pimpinan utama parti.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu diputuskan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat Majlis Tertinggi Khas parti yang diadakan malam ini.

“Tahun ini kita balik kepada tradisi, anggota MT yang berkenaan akan diberi peluang, presiden (Najib) telah memberitahu tadi,” kata Annuar ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat itu.
Secara tradisinya, ucapan penggulungan antara lain dilakukan oleh ketua-ketua sayap, wakil anggota MT, wakil kerajaan, naib presiden, timbalan presiden dan presiden parti.

Pada tahun lepas, hanya presiden parti sahaja yang menggulung perbahasan dan membuat ucapan penangguhan.

Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini menjalankan tugas-tugas timbalan presiden menjelaskan mesyuarat malam ini adalah mesyuarat biasa yang diadakan sehari sebelum perhimpunan agung esok.

Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mesyuarat MT turut membincangkan mengenai usul-usul yang akan menjadi panduan kepada jurucakap-jurucakap pada perhimpunan agung esok.

“Usul-usul yang telah dikumpul sebelum ini Alhamdulillah telah diterima, ini bermakna semua usul yang disediakan boleh dibahaskan esok oleh perhimpunan agung,” kata Hishammuddin yang juga pengerusi Jawatankuasa Usul dan Persiapan Perhimpunan Agung UMNO.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.