Teks Ucapan Penuh Presiden UMNO Pecah Tanah Pembangunan KL Putra World Trade #PAU2016


MAJLIS PECAH TANAH PEMBANGUNAN KL PUTRA WORLD TRADE CENTRE

TARIKH : 29HB NOVEMBER 2016 (SELASA)
MASA : 5.15 PETANG
TEMPAT : ARAS 4 (ARAS BUMBUNG), HENTIAN PUTRA, KUALA LUMPUR

BismillahirRahmanirRahim,
Alhamdulillahi Rabbil A’lamin wa bihi Nasta’in,

Assalamualaikum WarahmatullahiWabarakatuh, Salam Sejahtera, danSalam 1Malaysia.

YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi
Naib Presiden UMNO,

YB Dato’ Seri Hishamuddin Bin TunHussein
Naib Presiden UMNO,

YB Datuk Seri Tengku Adnan Bin Tengku Mansor
Setiausaha Agung Umno,

Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda danPuteri UMNO,
Ahli- Ahli Majlis Tertinggi UMNO,

YABhg. Tun Hajjah Rahah Binti Tan Sri Haji Mohammad Noah,

YBM Tan Sri Tengku Razaleigh Bin Tengku Mohd Hamzah,

YBhg. Tan Sri Datuk Seri (Dr.) AliesAnor Bin Abdul

Pengerusi PWTC,
Ketua-Ketua Parti Komponen BarisanNasional,

Dif-Dif Kehormat, Para tetamu yang dijemput khas, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapat kita bersama-sama berhimpun pada hari ini, bagi menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan KL Putra World Trade Centre.

2. Sudah semestinya, sekarang ini semua sedang sibuk melakukan pelbagai persediaan dan persiapan untuk Perhimpunan Agung UMNO 2016. Esok, akan bermula Persidangan Peringkat Wanita, Sayap Pemuda dan Puteri. Kepada ahli-ahli Wanita, Pemuda dan Puteri selamat bersidang saya ucapkan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

3. Sesungguhnya, perjuangan UMNO ini sarat dengan nostalgia dan bahagia. Namun, ia tidak sepatutnya menjadikan kita leka. Sebaliknya, ia harus memberikankekuatan kepada kita untuk terus menakhoda zaman. Pada usia 7 dekad ini, UMNO semakin matang dalam memenuhi keperluan orang-orang Melayu serta Bumiputera supaya terus menjadi bangsa berdaulat.

4. Namun, ingin saya tegaskan, UMNO bukan hanya berkhidmat untuk orang Melayu. UMNO yang merupakan tunjang Kerajaan Barisan Nasional, wujud di bumi bertuah ini untuk berkhidmat kepada semua tanpa batasan kaum, agama atau latar belakang.

5. Alhamdulillah, berkat usaha Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO, banyak kejayaan yang telah dicapai. Sesungguhnya lagi, semua itu tidak mungkin pula terhasil dan dikecapi tanpa sokongan padu jutaan ahlinya. Mereka di luar sana yang bukan ahli UMNO juga, turut menikmati limpahan rahmat sebagai rakyat Malaysia.

6. Banyak yang telah dicapai oleh negara hingga detik ini. Barisan Nasional sebagai Kerajaan bertanggungjawab, dengan sokongan padu UMNO bersama rakan parti komponen, sentiasa mengotakan janji dengan memberi khidmat bakti demi manfaat rakyat Malaysia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

7. Hari ini, apabila UMNO mengadakan Perhimpunan Agung atau mesyuarat, tempatnya selesa dan kemudahannya banyak. Malah, kita masih boleh berhubung dengan dunia luar dengan bantuan teknologi moden tanpa terlepas mengikuti perjalanan persidangan. Itulah yang dinamakan kemajuan tanpa sempadan.

8. Jika dihimbau pada sejarah, keadaan ini jauh berbeza dengan apa yang telah dilalui pejuang dan ahli terdahulu. Selepas UMNO dilahirkan pada tahun 1946, perjumpaan dan mesyuaratnya hanya diadakan di surau-surau, dan dewan-dewan kecil. Namun begitu, kekurangan tersebut tidak melunturkan semangat mereka kerana keutamaan adalah kepada perjuangan UMNO untuk memartabatkan Melayu.

9. Pada 31 Julai 1955, atas kesungguhan Presiden UMNO ketika itu, iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman, UMNO akhirnya berjaya mempunyai bangunan Ibu Pejabat UMNO pertama yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

10. Seiring masa, kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO terus meningkat. Dengan peningkatan bilangan ahli, pucuk pimpinan parti melihat keperluan untuk parti orang Melayu ini mempunyai 'rumah sendiri' yang lebih besar dan selesa supaya agenda perjuangan dapat dilaksana dengan lebih teratur.

11. Atas dasar kasih dan cintanya pada UMNO, ayahanda saya, Allahyarham Tun Abdul Razak, menyuarakan keperluan itu pada tahun 1971. Itu wawasan besarnya buat UMNO. Bagaimanapun, kejayaan tidak datang bergolek, impian tidak tertunai sekelip mata.

12. Hanya pada tanggal 25 Jun 1981, iaitu lebih 35 tahun lalu, berlangsunglah majlis pecah tanah Kompleks UMNO yang kini kita kenali sebagai Pusat Dagangan Dunia Putra oleh Presiden UMNO ketika itu, Tun Hussein Onn.

13. Berkait hal ini, mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa tarikh keramat itu adalah hari terakhir Allahyarham berkhidmat sebagai Presiden UMNO. Ketika itu juga, UMNO mengadakan Perhimpunan Agungnya yang ke-32.

14. Atas sebab itu, ahli UMNO sememangnya terhutang budi kepada Allahyarham yang ikhlas dan bersungguh mahu melihat pewaris parti meneruskan legasi UMNO demi survival orang Melayu.

15. Dengan kos lebih RM150 juta, bangunan yang mengikut pelan asalnya ialah setinggi 35 tingkat sempena 35 tahun usia UMNO ketika itu, adalah lambang kejayaan orang Melayu. Apa yang perlu dilakukan ialah melaksanakan amanah untuk terus memperjuangkan nasib dan masa depan orang Melayu supaya tidak mengemis di bumi sendiri.

16. Antara intipati ucapan AllahyarhamTun Hussein Onn pada hari bersejarah itu ialah, luahan harapannya supaya kompleks berkenaan menjadi ruang ekonomi untuk UMNO menjalankan perniagaan, selain kemudahan ruang persidangan serba selesa. Dengan bumbungnya menjulang kelangit, Allahyarham mengingatkan ahli UMNO bahawa pembinaan kompleks ini menandakan zaman kemunduran Melayu beransur luput.
17. Kompleks itu, kata Tun Hussein, adalah simbol perjuangan parti dan seharusnya memberi keyakinan kepada ahli parti untuk meneruskannya tanpa ragu. Allahyarham bapa saya, Tun Abdul Razak dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, turut berperanan besar dalam menjadikan Pusat Dagangan Dunia Putra sebagai kenyataan.
18. Perlahan-lahan, kita lakar sejarah. Perlahan-lahan, kita tiupkan semangat Melayu UMNO di kompleks keramat milik orang UMNO, oleh orang UMNO, untuk orang UMNO. Sejak terbinanya kompleks ini, banyak yang kita saksikan di Dewan Merdeka ini. Kita ketawa, kita menangis, kita berhujah, kita berkongsi pandangan, kita berlainan pendapat, kita berdebat. Dinding, lantai dan bumbung Dewan Merdeka mencerap jutaan cerita akan kisah perjuangan UMNO dalam membela anak bangsanya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian.

19. Atas kesedaran ini jugalah, UMNO mengorak langkah dengan wawasan baharu. Hari ini, 29 November 2016 bersamaan 29 Safar 1438 Hijrah, UMNO melakar satu lagi sejarah buat anak bangsanya, yakni majlis pecah tanah pembinaan Pusat Dagangan Dunia KL Putra. Ini adalah hari bersejarah buat kita pewaris pimpinan UMNO. Kompleks yang bakal menjulang angkasa pada ketinggian 70 tingkat, sempena 70 tahun usia UMNO kini, mercu tanda ikonik ini akan menjadi ibu pejabat UMNO yang baharu. Mudah-mudahan, dengan adanya kompleks baharu ini, kita lebih bersemangat untuk terus berjuang.

20. Untuk makluman semua, Pusat Dagangan Dunia KL Putra ini akan menampilkan persekitaran bersepadu merangkumi hotel, pejabat 70 tingkat dan dewan baharu. Ia juga merangkumi pembinaan sebuah masjid yang boleh menampung seramai 5,000 jemaah.

21. Dewan Tun Razak sedia ada akan kita jadikan dewan dua tingkat baru manakala Dewan Merdeka juga akan dinaik taraf. Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail akan kita naik taraf untuk dijadikan pusat urusan perniagaan setempat serta acara korporat.

22. Saya difahamkan, tema seni bina projek transformasi ini diilhamkan daripada pakaian tradisional Melayu yang diambil daripada corak-corak dan lipatan-lipatan unik yang terdapat pada sampin, kelok keris serta ukiran hulu.

23. Roh UMNO adalah tunjang PusatDagangan Dunia KL Putra ini. Setiap butir tanahnya, setiap lapisan dindingnya, terbina atas keringat dan air mata ahli bersama pemimpinnya. Ia adalah lambang kesetiaan, keikhlasan dan semangatahli UMNO dalam memartabatkan perjuangan orang Melayu.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

24. Yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang. Hakikatnya, kita saling memerlukan dan mesti bekerja keras. Keluarga besar UMNO perlu terus dipertahankan dengan kesetiaan dan kejujuran.

25. Kepada segelintir pihak, kalau pun tiada lagi rasa sayang terhadapUMNO, janganlah dihina parti yang begitu banyak dan besarjasanya kepada orang Melayu ini. Jangan dirobek hati ahli UMNO yang masih sayangkan partinya. Pemimpin datang dan pergi, namun UMNO tetap megah berdiri.

26. Kita membawa panji UMNO kerana kita percaya dengan perjuangannya. Budi dan pengorbanan barisan pemimpin terdahulu tidak terhitung banyaknya. Jika kita benar-benar menyanjungi perit-jerih mereka, pertahankanlah keutuhan keluarga besar UMNO. Perjalanan kita masih panjang dan perjuangan UMNO pula bukan untuk sehar idua, tetapi selama-lamanya.

27. Selagi anak Melayu bernafas di muka bumi ini, selagi itu jugalah UMNO terus bernyawa. Dulu, kini, selamanya. Insya-Allah.

28. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya sukacitanya merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan KL Putra World Trade Centre.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.