UMNO Pernah Dilanda Ribut & Badai Namun Alhamdulillah Parti Masih Bertahan - @TengkuAdnanReal


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata persidangan di peringkat bahagian menjadi bukti struktur organisasi parti itu yang mantap yang mana bermula dari akar umbi di peringkat Cawangan seterusnya dibawa ke peringkat Bahagian untuk diusulkan diperingkat Pusat.

Menurut beliau ia juga menjadi bukti keterbukaan UMNO untuk mendengar segala cadangan, idea dan suara dari semua peringkat bagi memastikan perjuangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang membela agama, bangsa dan negara terus bersemarak.
“Hari ini UMNO diasak dengan pelbagai isu yang kebanyakkannya lahir dari persepsi, manipulasi dan provokasi oleh pihak tertentu. Bukan hanya ahli-ahli UMNO tetapi pemikiran rakyat juga diracuni dengan agenda-agenda palsu dan isu-isu remeh yang tidak dibuktikan kebenarannya, hujah dibuat tanpa fakta, tuduhan bertali arus dengan kata-kata penuh nista, pemimpin, parti dan kerajaan dipalit dengan sengketa.

“Dan ada musuh yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memusnahkan perpaduan UMNO serta ada pihak yang menunggu masa untuk menghancurkan kerukunan dalam parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Putrajaya, di sini, hari ini.

Tengku Adnan seterusnya menambah sememangnya wujud seteru yang mahu UMNO jatuh melalui ahli-ahli di dalamnya iaitu merobek kepercayaan dan keyakinan kepada kepimpinan parti.

Namun tambahnya lagi apa-apa juga yang dibuat oleh mereka ini pastinya tidak akan berjaya selagi benteng kesepaduan dan kerukunan dalam UMNO terus diutamakan.

“Tidak kira apa status kita, apa jawatan kita, tekad berkhidmat kepada parti perlu terus ada. Bukan hanya kepada yang berjawatan sahaja perlu berkhidmat sebaliknya tugas tergalas di setiap bahu ahli UMNO untuk menzahirkan gerak kerja mantap, memberi tanpa diminta, bekerja tanpa disuruh, bersedia tanpa mengharap balasan dan melaksanakan tugas dengan ikhlas atas nama perjuangan Islam, bangsa dan negara .

“Dalam masa yang sama, kita janganlah angkuh, usahlah riak atas apa yang telah kita capai jauh sekali untuk memandang rendah orang lain.

“Buangkanlah semua perangai buruk, sifat negatif dan penyakit-penyakit yang membusukkan, apatah lagi nak pasang impian untuk agenda peribadi. Tak usahlah nak berhasad dengki, nak beriri hati, nak syok sendiri. UMNO parti untuk semua. Jadilah ahli UMNO yang kecil namun berjiwa besar, ada untuk menambah, wujud untuk menyahut seruan dan bekerja bagi memperteguh perpaduan semua,” katanya.

Tengku Adnan seterusnya menegaskan pelbagai cabaran sudah ditempuh UMNO termasuk ribut dan badai namun Alhamdulillah parti itu masih bertahan hingga kini.

“Jika hari ini kita melihat bagaimana UMNO di tentang oleh bekas Presidennya, maka ketahuilah bahawa itu bukan perkara baru. Mungkin kebetulan atau barangkali memang begitu takdir Allah SWT ke atas UMNO. Parti ini sentiasa ditentang oleh bekas pemimpin atasannya sendiri yang sebelum ini amat lantang memperjuangkan asas dan tujuan UMNO namun akhirnya….

“Jika kita imbas kembali sejarah, pengasas UMNO Datuk Onn Jaafar juga menentang UMNO selepas keluar dari parti dan menubuhkan Parti Negara. Kemudian dalam pilihan raya umum 1959 menjadi pembangkang untuk berlawan dengan Parti Perikatan ketika itu.

“Begitu juga pada zaman Tun Dr Mahathir yang jadi Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional. UMNO ditentang oleh bekas Timbalan Presidennya yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, keluar dari UMNO dan menubuhkan Semangat 46. Juga menjadi sekutu dengan pembangkang yang menetang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 1990 dan 1995,” katanya.


Dan katanya lagi tidak habis di situ, UMNO juga ditentang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri melalui partinya Keadilan.

“Bermula pada Pilihan Raya Umum tahun 1999, bekas pemimpin UMNO ini menjadi penentang kerajaan, bersekutu juga dengan pembangkang membentuk pakatan rakyat kemudian pakatan harapan dan selepas ini entah apa pula?

“Jadi, tidak hairan dengan situasi sekarang apabila kita juga berdepan dengan bekas Presiden UMNO, bekas Timbalan Presiden UMNO dan beberapa lagi bekas pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang sudah tak sehaluan lagi dengan asas dan tujuan utama perjuangan parti ini.

“Namun yakinlah, UMNO ini parti keramat, parti yang dilimpahi rahmat dan akan terus dipelihara-Nya selagi mana kita ahli-ahlinya, dari akar umbi hinggalah ke pemimpin atasan, di semua peringkat dan semua peringkat usia terus sepakat dan sependapat… percayalah sekiranya kita terus bersatu, bersetia dan berkhidmat dengan ikhlas atas nama Islam, demi bangsa Melayu dan kerana Malaysia tercinta maka tentunya UMNO akan terus mara,” katanya.

Dalam ucapannya itu juga beliau turut menyentuh soal pilihan raya yang mana perjuangan UMNO tidak akan bermakna sekiranya ahli parti tidak bersiap siaga bagi berdepan pilihan raya umum.

Katanya memang matlamat perjuangan adalah untuk agama, bangsa dan negara tetapi fokus adalah memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

“Gerak kerja bukan hanya untuk mengumpulkan ahli-ahli UMNO tetapi yang paling penting adalah memastikan setiap ahli parti berdaftar sebagai pengundi dan saling berusaha untuk menambah sokongan terhadap Barisan Nasional.

“Inilah UMNO, parti lengkap yang mempunyai struktur, berorganisasi, ada hala tuju dan jelas dalam konsep perkongsian kuasa bersama-sama anggota Barisan Nasional. Kesatuan dalam kepelbagaian, kita faham dan kita bersepadu.

“Inilah yang cuba ditiru oleh pakatan pembangkang namun nampaknya mereka gagal mencapai kata sepakat yang hanya dapat dilaksanakan dalam Barisan Nasional,” katanya.- MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.