Tabung Haji Buka Dua Pusat Rawatan Pada Musim Haji


Dua pusat rawatan akan dibuka di sini dan Madinah bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada 22,320 jemaah Malaysia pada musim haji tahun ini.

Konsul Haji Tabung Haji, Datuk Redhuan Sabaruddin berkata, 16 doktor pakar, 31 doktor perubatan dan seorang doktor pergigian dibawa oleh Tabung Haji.
Menurutnya, pusat perubatan di Madinah akan beroperasi di bangunan Tabung Haji al-Jaffrey manakala di sini pula berhampiran tempat melontar jamrah.

“Doktor berkenaan adalah antara 250 petugas perubatan yang dibawa Tabung Haji untuk merawat jemaah yang menghadapi masalah kesihatan,” katanya kepada Wartawan Malaysia ketika melawat bangunan perubatan tersebut di sini hari ini.

Redhuan berkata, pusat rawatan Tabung Haji menyediakan kemudahan seperti khidmat doktor pakar, khidmat kejururawatan, rujukan pesakit luar, rawatan kecemasan serta rawatan pesakit dalam dan pemulihan.

Jelasnya, perkhidmatan lain yang diberikan adalah rujukan ke Hospital Arab Saudi, stor farmasi dan bekalan, bilik gerakan perubatan, kaunter farmasi pesakit luar, makmal perubatan, fisioterapi dan X-Ray.

“Pasukan ini kita bawa khas dari Malaysia bagi memberi perkhidmatan kepada jemaah Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan,” katanya.

Selain itu menurutnya, klinik juga dibuka di semua maktab penginapan bagi memberi rawatan kepada pesakit yang menghadapi masalah penyakit tertentu.

Sumber : Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.