Penstrukturan Semula Jemaah Menteri Persekutan Dalam Masa Terdekat - PM



Penstrukturan semula jemaah menteri Persekutan akan dibuat dalam masa terdekat selepas peletakan jawatan Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dan pemergian timbalannya Allahyarham Datuk Noriah Kasnon, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Penstrukturan semula Jemaah Menteri Persekutuan dan lantikan baharu bagi memenuhi keperluan terkini serta pengisian jawatan akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya dalam entri terbarunya di blog NajibRazak.com.
Katanya beliau telah menerima peletakan jawatan oleh Uggah.

Datuk Seri Najib berkata Uggah telah berkhidmat dengan cemerlang dan banyak menyumbang kepada sektor komoditi dalam jawatan sebelum ini, antaranya penubuhan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit yang telah membantu dalam memastikan kestabilan harga sawit dan membangunkan industri hiliran.

Katanya kecemerlangan ini akan beliau (Uggah) bawa dalam jawatan baharu sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Pada masa sama, beliau berkata "kita masih lagi bersedih dengan tragedi yang menimpa rakan seperjuangan kita ketika bertugas di Sarawak".

Dalam pada itu, Datuk Seri Najib melahirkan rasa syukur kepada rakyat di Sarawak kerana terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.