Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Kekal Agenda UMNO - PM

Sejak UMNO ditubuhkan pada 1946, pemerkasaan ekonomi Bumiputera kekal sebagai satu daripada agenda perjuangan parti demi memastikan masyarakat itu menikmati kehidupan yang lebih baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata ini terbukti melalui usaha-usaha pembasmian kemiskinan yang dilakukan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sejak sekian lama serta memperkenalkan dasar mewujudkan kelas pertengahan yang terdiri daripada golongan profesional.

Malah, katanya kewujudan pelbagai institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Tekun Nasional juga merupakan sebahagian daripada perjuangan UMNO memperkasakan ekonomi Bumiputera.
"Saya merasakan banyak yang telah dicapai. Tanpa perjuangan UMNO, tidak mungkin hari ini kita lihat kedudukan orang Melayu lebih baik dan lebih selesa dalam bidang ekonomi.

"Kita sentiasa berusaha untuk melakukan usaha-usaha itu kerana sebab pada saya kelangsungan kuasa politik mesti bersandarkan kepada kuasa ekonomi," kata Datuk Seri Najib yang juga Presiden UMNO ketika ditemuramah bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-70 UMNO di pejabatnya baru-baru ini.

Temuramah itu dikendalikan Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Prof Dr Azizul Halim Yahya.

Mengambil contoh usaha terbaru, Perdana Menteri menarik perhatian bahawa kerajaan telah mengumumkan dasar 'Carve Out & Compete' iaitu pembahagian kira-kira 40 hingga 50 peratus kontrak, vendor atau peluang perniagaan dalam mana-mana projek besar diberikan kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

Ditanya sampai bilakah golongan Bumiputera akan terus dibantu, beliau berkata kerajaan tidak menetapkan garis penamat bagi perkara itu.

Menjelas lanjut, beliau berkata dasar-dasar berkaitan boleh dikaji semula apabila kekayaan negara mampu dibahagi secara adil dan saksama kepada semua kaum di negara ini.

"Barangkali pada ketika itu, orang Melayu sendiri begitu yakin bahawa tak perlu lagi kepada apa-apa keistimewaan dari segi dasar. Pada masa itu, mungkin dasar yang kita amalkan boleh kita cairkan atau dikaji semula supaya lebih terbuka.

"Tetapi yang penting sekali kita hendak sampai ke peringkat kekayaan negara ... sebab orang Melayu dan Bumiputera, bilangannya adalah 60 peratus lebih. Tetapi yang dituntut cuma 30 peratus (ekuiti) sahaja. Bukan dituntut 60 peratus tapi 30 peratus saja. Maknanya orang Melayu sudah cukup bertimbang rasa dan adil dalam apa yang dituntut dalam perjuangannya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.