KTMB Jawab Isu Kemalangan Tren


Kesilapan pemandu lokomotif melanggar syarat perjalanan dikatakan antara punca kereta api Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) berlanggar dengan sebuah tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) 13 gerabak di Stesen Komuter Batang Kali, tengah hari tadi.

Pengerusi Lembaga Pengarah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Ir. Nawawi Ahmad berkata, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan termasuk melakukan pemeriksaan ke atas kedua-dua tren berkenaan.
“Masalah kesilapan pemandu yang melanggar syarat. Walau bagaimanapun sedang dibuat pemeriksaan oleh jawatankuasa.

“Ketika kejadian, saya berada di kawasan (Langkawi) dan untuk kes itu, kita ada pakar yang akan mengendalikannya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Langkawi.

Beliau mengulas kejadian ETS berlanggar dengan sebuah tren KTM pada kira-kira jam 2 petang tadi.

Menurut Pegawai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Shamsol Majidi Hassan, tren yang dikatakan melepasi Stesen Komuter Batang Kali itu membawa enam gerabak berlanggar dengan tren KTM yang menarik 13 gerabak ketika dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan seramai 510 penumpang, bagaimanapun hanya tiga mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital.

Mengenai Sistem Keselamatan Perlindungan Automatik Tren (ATP), Ir. Nawawi berkata, beliau sudah meminta pihak KTMB melakukan kajian semula prosedur itu agar kejadian berkenaan tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat KTMB, Siti Badariah Wan Hanafi dalam kenyataan medianya petang ini berkata, perkhidmatan tren di Wilayah Tengah mengalami gangguan berikutan insiden pergeleseran tren antara Ekspres Rakyat (Butterworth – Johor Bharu dan ETS (Kuala Lumpur – Ipoh) pada jam 1.45 petang tadi.

Kata beliau, insiden itu berlaku di KM 322 di Kuala Kubu Bharu.

“Hanya tiga penumpang mengalami kecederaan ringan dan semua penumpang yang terlibat dipindahkan menggunakan bas. Punca pergeleseran masih dalam siasatan.

Menurut Siti Badariah, disebabkan insiden itu, perkhidmatan KTMB yang mengalami gangguan ialah perkhidmatan KTM Komuter laluan Rawang ke Tanjung Malim dibatalkan.

Ujar beliau, semua perkhidmatan ETS pula akan tamat di Stesen Rawang dan penumpang akan meneruskan perjalanan menggunakan bas atau sebaliknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.