Tips Bagaimana Menangani Sekiranya Anda Digigit / Dipatuk Ular


Kita dikejutkan beberapa hari lepas dengan kematian mengejut seorang anak kecil di sekolah dipercayai akibat dipatuk ular. Anak kecil itu dikhabarkan mungkin digigit ular pada waktu rehat dan dijumpai guru pengsan pada jam 11 pagi di dalam kelas.

Semalam saya dihubungi wartawan yang bertanya tentang perkara ini. Masyarakat perlu tahu bahawa dalam musim panas ini ular juga mencari pelindungan hingga ia mencerobohi kediaman dan tempat aktiviti manusia.

Oleh itu, masyarakat perlulah berhati-hati dan besedia sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti dipagut ular. Saya publish semula artikel saya ini, semoga bermanfaat buat semua.

1. Hanya 18 daripada 140 spesis ular darat di Malaysia yang berbisa.

2. Jika sekalipun anda digigit oleh ular yang berbisa, tidak semestinya ia menyebabkan kemudaratan pada nyawa kerana majoriti gigitan ular adalah ‘dry bites’ (patuk dan lari).

3. Majoriti kes gigitan ular, mangsa gagal mengecam spesis ular secara pasti. Juga, banyak spesis ular yang kelihatan seperti ular berbisa tetapi hakikatnya ia tidak berbisa.

4. Tidak semua gigitan ular akan dirawat dengan ubat antivenom.

5. Antivenom juga mempunyai kadar alahan/anaphylaxis hingga boleh menyebabkan kematian jika diberikan sebarangan.

6. Pemberian antivenom perlu mematuhi kriteria envenomasi (envenomation) ketat yang telah ditetapkan oleh pakar-pakar dunia.

7. Setiap kes gigitan ular akan dirujuk kepada Pakar Perubatan Kecemasan atas panggilan (on call) negeri masing-masing meskipun berada di hospital terpencil.

8. Pesakit akan berada di bawah pemerhatian doktor untuk melihat tanda-tanda bisa yang merebak dengan teliti. Sangkaan bahawa hanya ubat tahan sakit saja diberikan dan pesakit terbiar adalah sama sekali tidak benar dan mustahil kerana sudah ada protokol spesifik yang ditetapkan apabila menghadapi kes gigitan ular.

9. Masyarakat cuma lihat seolah-olah pesakit terbiar dan kakitangan hospital kunyah kuaci sedangkan pesakit sudahpun melalui perkara-perkara berikut.

a) dimasukkan ke dalam zon semi-kritikal atau kritikal (bergantung kepada keseriusan kesan gigitan) untuk tujuan penilaian dan rawatan.

b) dilihat oleh doktor, dipantau dan diperiksa dengan teliti bagi melihat jika pesakit mempunyai manifestasi toksik kepada sistem saraf (neurotoxicity), toksik kepada darah (hematotoxicity) mahupun toksik kepada otot (myotoxicity) yang mungkin memerlukan rawatan agresif.

c) ujian darah sudah diambil dan dihantar ke makmal dan akan dilakukan pengulangan bersiri.

d) kesan patukan sudah dicuci dan ditanda bagi melihat jika bengkaknya semakin merebak.

e) konsultasi secara langsung telah dilakukan dengan Pakar Perubatan Kecemasan atas panggilan dan strategi langkah rawatan selanjutnya akan dirangka oleh pakar serta akan dilaksanakan oleh pegawai perubatan secara sistematik dan selamat.

f) rawatan antivenom boleh diberikan sekiranya ada indikasi jelas (sistemik/seluruh badan atau di kawasan terdedah pada tahap yang serius) dan jenis antivenom akan ditentukan oleh Pakar Perubatan Kecemasan secara amat berhati-hati. Ini adalah kerana rawatan antivenom itu sendiri mempunyai risiko komplikasinya yang tersendiri.

‪#‎RESPONS_SEKIRANYA_ANDA_DIGIGIT_ULAR‬:

1. Pertama sekali anda mestilah bertenang. Jangan panik! Pastikan anda menjauhi ular tersebut dan cari tempat yang selamat. JANGAN PANIK! Hanya 18 dari 140 spesies ular Malaysia yang berbisa! Dan jika pun anda dipatuk oleh ular yang berbisa tidak semestinya ia menyebabkan kematian kerana majoriti dari gigitan ular adalah ‘dry bites’.

2. Pada masa yang sama, cuba cam kan rupa, ciri-ciri dan warna ular tersebut bagi tujuan pengesahan spesies di hospital nanti. Di era moden ini, sila ambil gambar ular tersebut dengan telefon pintar anda.

3. Jangan mengikut adegan dalam cerita Hindi atau Tamil dengan memotong atau menghisap tempat gigitan ular tersebut! Ia sama sekali tidak membantu malah boleh menyebabkan kecederaan tisu menjadi lebih teruk! Juga boleh menyebabkan bisa ular merebak dgn lebih cepat di dalam tubuh pesakit akibat dikulum ganas oleh anda. Bisa ular di dalam badan mangsa akan segera merebak ke dalam saluran limfa dan adalah mustahil untuk manusia menyedutnya semula.

4. Dapatkan bantuan segera. Anda boleh membuat panggilan kecemasan ke talian 999 untuk tujuan ini. Jika anda mempunyai rakan atau saudara dan tidak mahu menunggu, segera pergi ke hospital terdekat dengan anda.

5. Kurangkan pergerakkan pada anggota yang dipatuk ular. Memasang anduh atau splint utk mengurangkan pergerakkan adalah amat membantu.

6. Jangan ikat atau pasang torniquet pada anggota badan yg dipatuk ular! Ia tidak membantu merencatkan penyebaran bisa ular. Malah ia menambahkan kesakitan dan jika dibiarkan terlalu lama boleh merosakkan anggota yg terlibat akibat sekatan bekalan darah!

7. Kurangkan pergerakkan mangsa seminima yang boleh. Kekal bertenang sepanjang masa. Ini adalah penting kerana degupan jantung yg laju dan pergerakkan badan yg keterlaluan akan menyebabkan merebaknya bisa lebih pantas dan mungkin menyebabkan ganguan sistemik. Atas sebab ini juga elakkan pesakit terdedah kepada agen-agen yang boleh mempercepatkan degupan jantung seperti minum kopi, minuman beralkohol dan rokok.

8. Cuci luka patukan ular itu dengan air yang bersih tanpa menyental atau menggosok-gosok lukanya. Juga, anggota yang dipatuk ular berkemungkinan akan bengkak akibat bisa ular tersebut. Oleh itu tanggalkan cincin, jam tangan, gelang dan alin-lain yang mungkin akan tersangkut kelak akibat bengkak yang keterlaluan. Ini juga akan mengganggu pengaliran darah.

9. Jika ular sudah dibunuh, boleh bawa bangkai ular tersebut ke hospital bagi tujuan pengecaman spesies. Ini adalah penting bagi memastikan anti-venom yg tepat dapat diberikan seandainya perlu. Harus diingat, berhati-hati menguruskan bangkai ular tersebut. Walau ia telah mati, kita masih boleh terdedah kepada bisanya seandainya jari kita tertusuk pada taring ular tersebut.

10. Rawatan lanjut akan diberi oleh Pakar Perubatan Kecemasan di Hospital anda.

11. Tidak semestinya setiap gigitan ular memerlukan ubat Antivenom! DIGIGIT ULAR TIDAK BERMAKNA WAJIB MENERIMA ANTIVENOM!!!

12. Antivenom perlu diberikan hanya pada kes-kes yang memenuhi kriteria ketat envenomasi (sistemik/seluruh badan atau di kawasan terdedah pada tahap yang serius). Ini adalah kerana antivenom itu sendiri mempunyai risiko komplikasi dan kesan sampingan terhadap pesakit dan tidak boleh diberikan sebarangan.

13. Keputusan memberikan ubat antivenom ini hanya akan dilakukan oleh Pakar Perubatan Kecemasan setelah dinilai dengan teliti berdasarkan ilmu dan pengalaman mereka bagi mengurangkan risiko seminima mungkin buat mangsa gigitan ular.

‪#‎Kesimpulan‬:

1. Cuba untuk sentiasa bertenang jika digigit ular.

2. Kurangkan pergerakkan seminima mungkin. Pasang anduh jika perlu.

3. Dapatkan bantuan segera untuk ke hospital. HUBUNGI 999 tanpa segan silu.

4. Sila cam kan rupa ular bagi tujuan pengesahan spesies di hospital untuk memudahkan strategi rawatan. Setiap jabatan kecemasan akan mempunyai album dengan galeri gambar ular bagi memudahkan pesakit mengecam jenis ular yang menggigit mereka.

5. Kaedah merawat gigitan ular memang mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Pemerhatian utk kesan envenomasi secara teliti adalah amat mustahak. Jika anda menunggu lama dan mahukan penjelasan sila bertanya kepada doktor atau kakitangan yg bertugas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.