Biro IPTS UMNO Tawar Biasiswa RM10 Juta Kepada 50 Pelajar Terpilih

Biro Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) UMNO Malaysia menawarkan pembiayaan pendidikan berbentuk biasiswa sebanyak RM10 juta kepada 50 pelajar yang terpilih bagi mengikuti pengajian di IPTS seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Razali Ibrahim berkata mereka yang berminat bolehlah membuat permohonan sebelum penghujung bulan April ini dan borang boleh di dapati di seluruh pejabat UMNO bahagian.


“Mungkin pada sesetengah orang jumlah RM10 juta sedikit tetapi ini adalah permulaan dan saya harap 50 tempat ini adalah satu kumpulan yang dapat mengembalikan peluang kepada yang lain dengan jumlah yang lebih besar dengan menunjukkan prestasi dan kejayaan.

“Saya juga percaya, tahun-tahun akan datang kalau perkara ini dapat dipenuhi dengan baik maka jumlah itu boleh ditingkatkan,” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama biro itu sejak ditubuhkan pada 29 Januari lalu.

Tambah Razali sejak ditubuhkan, biro ini telah mengadakan pelbagai bentuk kajian tentang beberapa perkara yang boleh dicapai untuk memenuhi hasrat penubuhan.

Jelasnya penubuhan biro ini adalah untuk membantu dan meninjau tentang kedudukan mahasiswa mahasiswi bumiputera di kampus IPTS seluruh negara.

“Kita mempunyai 512 buah IPTS dalam negara ini yang mana para pelajar di semua IPTS ini berjumlah lebih kurang 490 ribu… daripada jumlah itu, lebih kurang 22 ribu pelajar antarabangsa dan seramai 197 ribu pelajar pula mewakili hampir 45 peratus pelajar bumiputera.

“Inilah antara tugas pertama biro ini untuk memastikan pelajar ini dapat bersaing dan mengikuti pengajian dengan cara yang lebih baik. Selain itu kita juga mendengar apakah rintihan dan permasalahan mereka dalam mengejar kecemerlangan di IPTS.

“Di IPTA kita tahu pemantauan dapat dibuat dengan dekat.. di IPTS ini atas kesedaran pentingnya pendidikan kepada Melayu bumiputera maka biro ini diminta melihat permasalahan yang ada dan kita telah bersetuju,” katanya lagi.

Selain itu tambah beliau sekiranya ada permintaan, Biro IPTS akan turut memberi penerangan tentang apakah itu UMNO kepada mahasiswa dan mahasiswi yang berminat untuk mengenali parti ini.

“Kalau nak tahu pasal UMNO jangan tanya pembangkang.. tanya kita dan kita akan beri penjelasan supaya dapat kenal dalam keadaan yang lebih adil kepada UMNO. Selain itu biro ini juga akan menyusun program-program penerangan terhadap dasar-dasar kerajaan jika ada yang berminat untuk kita berbuat demikian,” terang Razali seterusnya. – MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.