100,000 Rakyat Malaysia Hidap Kanser Setiap Tahun


Kira-kira 100,000 rakyat Malaysia menghidap penyakit kanser setiap tahun dan kaum wanita merupakan yang paling ramai mengalami penyakit tersebut, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 4,753 adalah wanita Melayu diikuti wanita Cina seramai 4,422 orang, manakala kaum lelaki Cina lebih ramai menghidap kanser iaitu 4,078 orang berbanding lelaki Melayu seramai 4,058 orang.
"Dianggarkan satu daripada empat orang rakyat Malaysia akan mengalami penyakit kanser pada usia 75 tahun dan antara sebab ia berlaku adalah kerana peningkatan populasi dan jangkauan usia yang lebih lama.

"Dijangkakan, pada 2020 jumlah pesakit kanser di Malaysia akan meningkat 15 peratus dan ia terdiri daripada warga emas," katanya selepas pelancaran kempen kesedaran Kanser Usus Besar bersama komuniti PPR Desa Tun Razak.

Beliau berkata lima kanser utama yang menyerang rakyat di negara ini adalah kanser payudara iaitu 14.5 peratus, kanser usus 12.1 peratus, kanser paru-paru 11.8 peratus, kanser pangkal rahim 5.7 peratus dan kanser kerongkong 5.4 peratus.

Dr Hilmi berkata sejumlah 2,246 kes kanser usus dilaporkan sebelum ini yang menjadi kanser kedua tertinggi di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.