Rakyat Dapat Banyak Manfaat Dari UTC & RTC @NajibRazak


Istilah ‘kerenah birokrasi’ sering kita dengar sejak dahulu lebih-lebih lagi melibatkan urusan rakyat dengan agensi-agensi Kerajaan. Namun, sama ada sedar atau tidak, perkara ini sudah semakin kurang menjadi topik buah mulut di kalangan rakyat Malaysia.

Kerenah birokrasi yang sebelum ini sering memberi gambaran negatif kepada tahap penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat kini bukan sahaja semakin berkurangan, malah telah berjaya menukar persepsi dan realiti negatif rakyat kepada positif.
Apa tidaknya, jika dahulu urusan permohonan dan pembaharuan Kad Pengenalan, passport dan cukai jalan mengambil masa beberapa hari untuk disempurnakan. Kini, urusan-urusan seperti ini mampu diselesaikan dalam hari yang sama malah hanya mengambil masa lebih kurang satu jam.

Ini bukan sahaja menjimatkan masa rakyat sebagai pelanggan agensi-agensi Kerajaan, malah menjimat kos perjalanan dan tenaga mereka apabila tidak perlu datang semula pada hari yang lain.

Sejak YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak mengambil tampuk pemerintahan negara pada 2009 sebagai Perdana Menteri, beliau amat mementingkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Atas semangat ‘Rakyat Didahulukan’ dan ‘Pencapaian Diutamakan’, Kerajaan telah menggunapakai kaedah ‘Strategi Lautan Biru’ yang ternyata merupakan satu pendekatan tuntas dan ‘serampang dua mata’ yakni meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam sekaligus rakyat merasa berpuas hati dengan kecekapan dan tahap efisien tinggi perkhidmatan yang diberikan.

Kesungguhan Perdana Menteri melaksanakan Strategi Lautan Biru dalam perkhidmatan awam ini dapat dilihat dengan strategi ini dijadikan sebagai agenda nasional dengan pengwujudan Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) yang menyelaras dan melaksana konsep perkongsian pintar dalam menggembleng pelbagai sumber Kerajaan untuk rakyat.

Di bawah NBOS, terdapat 8 bidang impak yang setiap satunya mempunyai fokus dan pengkhususan sendiri. Salah satunya adalah Penyampaian Servis Awam Yang Efektif yang mana penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bertujuan untuk menjamin penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan memudahkan rakyat selaku pelanggan.

Setakat ini Kerajaan telah membina sebanyak 12 UTC dan 7 RTC di seluruh negara yang mana pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan diletakkan di bawah satu bumbung bagi menjimatkan masa, kos dan tenaga rakyat untuk membuat transaksi dan mendapat perkhidmatan Kerajaan.

Kini, rakyat khususnya yang bekerja tidak perlu lagi gusar untuk mengganggu waktu kerja harian mereka kerana waktu operasi jabatan dan agensi Kerajaan di UTC dan RTC adalah melepasi waktu pejabat. Lebih menarik, UTC dan RTC turut dibuka pada hari Sabtu dan Ahad.

Tanpa disedari ramai, inilah antara ‘game changer’ yang dibawa oleh Perdana Menteri yang memberi impak dan manfaat secara terus kepada rakyat. Urusan harian kini bukan sahaja menjadi lebih mudah, malah mengurangkan kos masa dan wang ringgit.

Pada tahun 2015 sahaja, UTC telah dikunjungi oleh lebih 11.4 juta orang manakala RTC pula mencatat seramai 9.7 juta orang. Ini menunjukkan, khidmat UTC dan RTC ini telah memberi manfaat kepada lebih 20 juta orang pengunjung yang mana angka ini bukanlah satu angka yang kecil, malah jumlah yang amat besar yang telah mendapat impak penubuhan UTC dan RTC ini.

Selaku sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, Kerajaan tidak pernah membandingkan antara masyarakat bandar dan luar bandar. Pucuk pimpinan negara sekarang tidak mengamalkan dasar pecah dan perintah, malah layanan yang diberikan adalah samarata antara bandar dan luar bandar.

Oleh sebab itu, masyarakat luar bandar turut dapat menikmati hasil pertumbuhan ekonomi negara yang dicatat dengan setiap tahun hasil penubuhan RTC yang bertempat di luar bandar.

Kerajaan pimpinan YAB Perdana Menteri dilihat sentiasa mencari jalan penyelesaian tuntas dalam segenap perkara, tanpa meminggirkan masyarakat luar bandar. Jika dahulu, masyarakat luar bandar mengalami dilema dan kesukaran untuk mendapatkan perkhidmatan Kerajaan kerana terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama, kini perkara ini telah dapat dikurangkan hasil penubuhan RTC.

Pastinya penubuhan UTC dan RTC ini bukanlah yang terakhir, malah lebih banyak lagi inisiatif-inisiatif NBOS yang akan dilahirkan bagi memaksimumkan penggunaan sumber sedia ada di pelbagai kementerian. Bukan itu sahaja, NBOS juga menyasarkan inisiatif-inisiatifnya akan memberi impak yang boleh dirasai dalam tempoh yang singkat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.