Jangan Khianati Perjuangan Parti Kerana Agenda Peribadi - Presiden UMNO @NajibRazak


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kepimpinan dan anggota UMNO supaya tidak mengkhianati perjuangan parti demi kepentingan agenda peribadi sehingga menggadai maruah diri.

Datuk Seri Najib yang juga Presiden UMNO berkata perjuangan politik yang berlandaskan moral dan prinsip perlu dipertahankan bagi menghadapi pelbagai cabaran dan isu dalam negara.

"Dalam politik, kita mesti ada moral dan prinsip...kalau buat apa-apa pun mesti berpegang kepada Perlembagaan negara, kalau tidak, negara akan huru-hara.
"Kalau huru-hara, apa yang kita perjuangkan sekarang akan hancur lebur...apa nak kita tinggalkan pada anak-anak dan cucu-cucu kita," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Anggota Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) dan pelancaran Kelab Waris PBAKM.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PBAKM Datuk Melati Ali.

Datuk Seri Najib turut membidas pemimpin yang dilihat beralih pendirian dan bertukar perjuangan.

"Bukan ke setengah orang dahulu cakap lain...dahulu suruh sokong parti, dahulu nasihat jangan kalau dah bersara jangan lupa (parti). Waktu kita jadi pemimpin, orang lain sokong kita, bila kita berhenti (jadi pemimpin) kita wajib sokong parti.

"Di mana duduknya orang itu sekarang...dia tidak duduk sebaris UMNO lagi, dia tidak duduk dengan pejuang yang setia dengan perjuangan.

"Dia duduk dengan orang yang dahulu dia cakap rasis, cauvanis, komunis, anti-Islam dan anti-Melayu. Apa kita nak kata dia sekarang.Kita pertahankan dia selama 22 tahun. Orang kata dia maha zalim, maha firaun...bukan saya kata, mereka kata. Saya menyambung apa yang mereka kata.

"Sekarang, dia duduk sebaris (dengan mereka)...di mana letak maruah diri. Kalau kita tidak ada apa-apa, sekurang-kurangnya kita ada maruah," kata perdana menteri sambil menegaskan bahawa rakyat tidak lagi terpengaruh dengan usaha menjatuhkan kerajaan tanpa melalui pilihan raya umum.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.