JAKIM Rangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara - PM @NajibRazak


Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi memperkasakan institusi pendidikan tahfiz al-Quran di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, beliau menyarankan madrasah-madrasah tahfiz di negara ini supaya turut memberikan pandangan dan cadangan kepada pembangunan DPTN dalam usaha memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran terus subur di Malaysia.

“Saya sendiri akan memberikan perhatian secara peribadi kepada pembentukan dan pelaksanaan DPTN,” katanya ketika berucap pada Himpunan 20,000 Huffaz dan perasmian Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan) di Masjid Wilayah di sini, malam Ahad.
Beliau berkata kerajaan mendukung pendidikan tahfiz di negara ini dengan sebaiknya menerusi penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat sebagai unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri sejak 1966.

Dengan penubuhan unit itu, katanya, bermulalah pengajian bidang Tahfiz al-Quran di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac 1966 dengan lapan pelajar perantis yang dipilih dari negeri-negeri di Malaysia.

“Maahad Tahfiz adalah institusi tahfiz rasmi yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ini menunjukkan betapa dekatnya pendidikan tahfiz dengan pentadbiran kerajaan Malaysia,” kata perdana menteri.

Pada 1997, Maahad Tahfiz itu dinaikkan taraf sebagai satu bahagian di JAKIM.

Najib berkata selain membangunkan DPTN, kerajaan juga amat komited dalam memastikan semua pentadbiran negara menepati dengan segala kehendak yang telah digariskan oleh Islam.

“Pendidikan al-Quran dan tahfiz al-Quran merupakan antara ramuan yang terpenting dalam konteks memelihara agama.

“(Ia) sekali gus menolak tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap agama Islam yang suci ini, sama ada fitnah dan ancaman oleh ekstremis radikal mahupun ancaman pemikiran oleh kelompok pelampau liberalisme yang semakin galak melebarkan fahaman mereka dalam kalangan masyarakat kita hari ini,” kata beliau.

Najib juga menyambut baik penubuhan persatuan madrasah dan maahad tahfiz di negeri-negeri, yang membolehkan suara dan pandangan warga institusi tahfiz diperkasakan.

“Bagi saya, ini adalah inistiatif proaktif dan positif yang sangat membantu usaha kita semua untuk memartabatkan dan meningkatkan lagi bidang tahfiz al-Quran di negara ini. Alhamdulillah!,” kata beliau.

Mengenai penubuhan PINTA Kebangsaan, yang merupakan gabungan kepada PINTA-PINTA Negeri, perdana menteri mencadangkan pimpinan PINTA Kebangsan memberi tumpuan kepada isu-isu di peringkat nasional dan antarabangsa serta sentiasa bersedia untuk aktif melebarkan skop sumbangan kepada masyarakat, negara dan antarabangsa.

Sebagai mengiktiraf usaha para huffaz menubuhkan PINTA Negeri dan Kebangsaan, Najib mengumumkan kerajaan menyumbangkan dana RM10,000 kepada setiap PINTA Negeri yang berada di bawah PINTA Kebangsaan. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.