Hishamuddin Tidak Takut Ugutan Culik Oleh Daesh


Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein hari ini berkata beliau tidak takut dengan cubaan oleh kumpulan Daesh untuk menculik beliau, tahun lalu, bagaimanapun ugutan kumpulan pengganas itu tidak boleh dipandang ringan.

“Saya tidak gentar, ia bukan kerana diri saya (untuk diculik), tetapi kerana jawatan yang saya pegang.

“Apapun saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri kabinet lain terjamin,” katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Pangkalan Tentara Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini.
Beliau mengulas pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat hari ini yang menyatakan pasukan keselamatan negara berjaya mengekang serta menggagalkan beberapa rancangan serangan keganasan oleh Daesh dan cubaan menculik pemimpin negara termasuk perdana menteri.

Zahid berkata selain perdana menteri, turut menjadi sasaran ialah beliau sendiri dan Hishammuddin.

Selain penculikan, kumpulan Daesh turut merancang serangan ke atas rumah ibadat, tempat tumpuan ramai, merompak senjata api daripada kem tentera dan rompakan wang tunai yang dipercayai bagi dijadikan dana untuk kegiatan mereka.

Menjelas lanjut, Hishamuddin berkata tindakan Daesh itu jelas menunjukkan ia semakin terdesak kerana segala perancangan jahat mereka di negara ini berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa.

“Selagi dia buat perancangan macam itu, selagi itu kita bersemangat untuk menghalang mereka,” katanya.

Hishamuddin turut memberi jaminan semua kem tentera terutama yang mempunyai stor senjata dikawal rapi bagi memastikan ia tidak dibolosi pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata pihaknya turut menjalin kerjasama dengan pihak keselamatan negara luar termasuk dari aspek risikan mengenai keselamatan di Negara masing-masing.

Terdahulu, Hishamuddin pada majlis berasingan di sini, mengumumkan dua blok apartmen Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Pangkalan TLDM itu akan ditambah baik, melibatkan peruntukan RM22.5 juta.

Beliau berkata pembaikan itu dijadual bermula pada Mei dan siap pada hujung tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.