Rafizi Ramli Pakar Jual Fitnah - Datuk Sohaimi Shahadan

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan meminta Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli agar tidak menggunakan taktik murahan untuk mencari publisiti murahan dengan menyebarkan fitnah dan tohmahan yang tidak benar terhadap kepimpinan dan institusi kerajaan.

Kata beliau, taktik kotor yang digunakan oleh Rafizi untuk menarik perhatian rakyat serta menyesatkan pemikiran rakyat dengan cuba menyematkan persepsi negatif terhadap kepimpinan dan institusi kerajaan akhirnya memakan diri apabila terbukti perkara itu tidak benar.

“Rafizi saya kira tidak serik-serik buat fitnah. Bukan sekali malah sudah berkali-kali beliau memfitnah kepimpinan negara dan juga institusi kerajaan. Saya merasa kesal dengan sikap beliau sebagai seorang ahli politik yang gemar mengadu domba dan membuat tohmahan dengan pelbagai perkara yang tidak benar.
“Beliau sepatutnya menjadi ahli politik yang lebih berintergriti dan berkualiti dan bukannya sebagai seorang hali politik yang ingin menjadi populis dengan melontar fitnah dan tohmahan. Mungkin Rafizi sudah bangkrap idea untuk menyerang kerajaan jadi beliau menggunakan fitnah sebagai senjata biarpun perkara itu bercanggah dengan ajaran dan tuntutan agama,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah beliau, sikap Rafizi yang suka melontar fitnah ini tidak hanya terhad kepada kepimpinan kerajaan dan UMNO sahaja, malah Rafizi juga dilihat tidak teragak-agak untuk melontarkan fitnah terhadap kepimpinan parti pembangkang yang lain, mahu pun terhadap pemimpin partinya sendiri.

“Apa yang saya lihat, Rafizi bukan saja rajin memfitnah kepimpinan dan institusi kerajaan, malah fitnah juga digunakan sebagai senjata untuk menjatuhkan rakan-rakan di dalam partinya sendiri. Sebagai contoh Tan Sri Khalid merupakan salah seorang mangsa fitnah beliau dalam isu penukaran Menteri Besar Selangor di mana akhirnya terbukti PKR salah dan terpaksa memohon maaf kepada Tan Sri Khalid.

“Malah, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang juga tidak terlepas daripada fitnah beliau dalam isu siapa akan menjadi perdana menteri jika pembangkang menang PRU ke 13 sebelum ini. Jika kepimpinan di dalam partinya sendiri dan juga rakan-rakan sekutu PKR juga tidak terlepas daripada fitnah beliau, apatah lagi kepimpinan UMNO dan kepimpinan negara.

“Sebab itu, bila Datuk Seri Najib mahu saman beliau tentang isu cincin, tiba-tiba dia buat kenyataan itu hanya sekadar gurauan semata-mata. Jadi saya nasihatkan beliau cukup-cukuplah membuat fitnah. Jangan kerana terlalu terdesak untuk meraih sokongan dan mahu menjadi populis, beliau sanggup menjadi fitnah sebagai senjata dan modal politiknya,” jelas beliau.

Justeru itu beliau menyeru rakyat agar menolak ahli politik yang suka menjadikan fitnah dan tohmahan sebagai senjata untuk meraih sokongan kerana pendekatan fitnah dan tohmahan ini tidak akan mendatangkan kebaikan kepada rakyat di negara ini.

“Kita tak boleh menerima ahli politik yang suka mengadu domba dan menyebarkan fitnah di kalangan masyarakat. Pendekatan menjadikan fitnah sebagai modal politik untuk meraih sokongan merupakan perkembangan yang tidak sihat untuk senario politik negara. Ianya hanya akan mengundang keburukan dan tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan kepada rakyat dan juga negara ini,” tegasnya. -MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.