Apa Untungnya Londeh Kain Sesama Pemimpin UMNO? - Syed Ali


Perpecahan dalam UMNO boleh memberi kesan buruk kepada perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, perselisihan dalam parti akan merosakkan asas kepada wadah perjuangan dan teras kesatuan orang Melayu sejak dahulu sehingga sekarang.

"Sebarang pertelingkahan yang boleh membawa kepada perpecahan UMNO hendaklah dielakkan dengan mengambil kira kesepakatan berasaskan semangat kekeluargaan yang dipupuk selama ini.
"Benteng kukuh UMNO hendaklah dipertahankan kerana kekuatan itu menjadi simbol keagungan orang Melayu dan menjadi satu perbuatan yang amat hina jika benteng itu sengaja dirobohkan hanya disebabkan ingin memuaskan nafsu politik peribadi," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menjelaskan, perbezaan pendapat dan bertentangan pandangan merupakan perkara lumrah dan sepatutnya tidak diperbesarkan sehingga mencetuskan kekeliruan di kalangan masyarakat.

"Kita sayangkan UMNO, kita sayangkan perpaduan orang Melayu dan umat Islam, sebab itu kita perlu bersatu.

"Pasti ada rasa tidak puas hati dan terkilan dalam mana-mana organisasi atau pertubuhan siasah terhadap pucuk pimpinan berhubung sesuatu perkara.

"Oleh sebab itu, UMNO mempunyai saluran tertentu untuk ahli-ahlinya menyalurkan segala pandangan, teguran dan saranan jika membawa manfaat kepada kepentingan parti," ujarnya.

Bagaimanapun Syed Ali meluahkan rasa kesalnya kerana sejak akhir-akhir ini ada sesetengah pihak seperti mengambil kesempatan meletakkan sesuatu kesalahan terhadap pemimpin tertentu.

"Mencari kesalahan orang lain bukan perbuatan terpuji, malah apa yang kita kesal kerana perbuatan seperti itu hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Kadang kala kita lupa kepada tatasusila sebagai orang Melayu yang kaya dengan nilai-nilai budaya murni dan menghormati pemimpin.

"UMNO sepatutnya tidak meniru perangai pemimpin pembangkang yang suka mencari kesalahan orang lain dan menyebarkan fitnah serta adu domba," tegasnya.

Menurutnya lagi, sikap suka 'melondeh kain' sesama pemimpin hanya akan menjadi tontonan generasi muda yang akhirnya memberi kesan negatif kepada pemikiran mereka.

"Apa untungnya kepada UMNO jika kita suka londeh kain sesama kita. UMNO merupakan parti yang sudah menjadi darah daging perjuangan orang Melayu dan tidak sepatutnya dicemari dengan tingkah-laku seperti itu .

"Jangan kita fikir seronok buka keburukan sesama kita kerana rakyat sedang memerhati (UMNO), sepatutnya kita berpakat untuk bersatu membina semula kekuatan," katanya.

Tambahnya, budaya UMNO adalah hormat menghormati serta setia kepada pucuk pimpinan selain dalam masa yang sama sentisa menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu.

"Bagaimana kita mahu mendidik generasi muda agar menghayati perjuangan UMNO, sedangkan sesama pemimpin mempamerkan teladan yang kurang elok.

"Generasi muda sepatutnya dipupuk dengan ciri-ciri kepimpinan terpuji dengan menjadikan UMNO sebagai model perjuangan kerana mereka merupakan pewaris masa depan negara," jelasnya.

Justeru tegasnya, pemimpin yang ada hari ini perlu disokong dan dipertahankan manakala pemimpin terdahulu tetap dihargai di atas sumbangan yang telah mereka berikan.

"Ahli dan pemimpin UMNO di semua peringkat kepimpinan perlu berpegang teguh kepada falsafah perjuangan parti.

"Lupakanlah soal remeh-temeh dan agenda peribadi, yang penting UMNO perlu diperkasakan terutama bagi menghadapi pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya.
Syed Ali turut menegaskan, musuh-musuh UMNO sememangnya sentiasa berusaha melakukan pelbagai serangan untuk menghancurkan kekuatan parti termasuk Barisan Nasional (BN).

"Pembangkang akan melakukan serangan dalam pelbagai kaedah dan strategi supaya timbul keresahan dan kebencian rakyat terhadap UMNO.

"Mereka (pembangkang) lakukan serangan fitnah secara terancang sehingga perkara yang tidak betul nampak seperti sahih dan benar," jelasnya.

Tambahnya, keretakkan hubungan pembangkang membabitkan DAP dan PAS tidak memberi kesan kepada UMNO kerana kedua-dua parti tersebut tetap menjadi musuh politik kepada parti.

"PAS tetap kekal sebagai parti pembangkang seperti DAP, PKR dan parti serpihan, AMANAH. Selagi sifatnya pembangkang, tetap menjadi menjadi ancaman kepada UMNO," tegasnya.

Bagaimanapun katanya, UMNO dan BN tidak leka malah sentiasa bersiap sedia untuk berdepan dengan pakatan pembangkang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.