Pengganas Sudah Dipulihkan Bagi Deradikalisasi Ekstremis Di Bawah POTA


Malaysia menggunakan pengganas yang sudah berjaya dipulihkan sebagai contoh dan teladan baik dalam kaedah untuk proses deradikalisasi ekstremis, yang ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kaedah itu merupakan satu daripada empat bahagian dalam modul negara bagi program deradikalisasi dan pemulihan.

“Bekas pengganas atau individu yang sudah berjaya dipulihkan boleh menjadi contoh baik dan mampu memujuk bekas rakan seperjuangan untuk meninggalkan perjuangan mereka yang telah disalah tafsir.
“Mereka juga lebih berwibawa untuk menunjukkan mana-mana fakta penting berkaitan radikalisme yang telah disalah tafsir dan diselewengkan,” katanya semasa menyampaikan kenyataan peringkat menteri berhubung Dasar Deradikalisasi antara negara-negara peserta pada Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan 2016 (IDC 2016) di sini hari ini.

Tiga lagi bahagian dalam program itu ialah pembabitan ulama yang mempunyai pengaruh lebih baik ke atas masyarakat setempat; pembabitan anggota keluarga kerana ia amat efektif dari segi psikologi dan kerohanian; dan pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) yang amat penting untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang akibat negatif keganasan.

Ahmad Zahid berkata bagi mereka yang ditahan di bawah POTA, modul itu meliputi pelbagai aspek seperti kemahiran sosial, pengurusan diri, patriotisme, pengurusan kewangan dan psikologi dan juga bertindak sebagai garis panduan bagi pegawai pemulihan.

Beliau berkata penjara dan golongan radikal dalam tahanan turut menjadi kebimbangan kerana kerajaan sedar tahanan berkenaan mempunyai latar belakang dan kepercayaan berbeza dan tahap kecenderungan dan fahaman radikal mereka juga berbeza.

“Untuk memastikan kejayaan program deradikalisasi kami, kami membabitkan pakar-pakar yang mempunyai kepakaran khusus, keselamatan, psikologi dan kerohanian atau agama berlainan.

“Tahanan juga dipantau dan dinilai oleh sebuah lembaga pakar bebas yang akan menentukan tempoh penahanan, kesesuaian untuk dibebaskan dan keperluan bagi pemantauan berterusan selepas dibebaskan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata program itu termasuk latihan bagi membolehkan mereka mendapatkan kemahiran untuk mendapat kerja, menyara kehidupan secara jujur dan dibantu untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Sementara itu, negara anggota ASEAN memuji langkah kerajaan Malaysia menganjurkan persidangan itu yang menurut mereka adalah tepat pada masanya dan menggesa ditingkatkan kerjasama dalam perkongsian maklumat dalam usaha memerangi keganasan secara efektif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.