Wanita UMNO Perkenal Tabung Pejuang Nadi Rakyat


Tabung Pejuang Nadi Rakyat bagi menghargai perjuangan dan jasa anggota veteran Wanita UMNO akan dilancarkan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu ini, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2015.

Ketua Pergerakannya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata tabung itu bertujuan membantu dan membela kebajikan veteran wanita yang telah uzur dan sakit.

“Tabung ni kita wujudkan sebagai mengenang jasa pejuang kita yang terdahulu, ketua dan pemimpin Wanita yang kini sudah berumur, sakit dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik Wanita UMNO di sini, hari ini.

Beliau berkata mesyuarat hari ini memutuskan pelbagai program yang bakal diadakan pergerakan itu sepanjang perhimpunan agung parti itu mulai esok,
antaranya Pameran Kaukus Penggubal Undang-undang dan Karnival Kesihatan.

Sementara itu, mesyuarat biro politik pergerakan itu hari ini bersepakat untuk terus menyokong Najib dan akan berdiri teguh di belakangnya, katanya.

“Sokongan kami kepada Najib tetap teguh. Wanita UMNO sebagai tulang belakang akan pertahankan kekuatan UMNO yang bermula dengan presidennya,” kata Shahrizat.

Perhimpunan Agung parti itu akan berlangsung Selasa ini dengan majlis taklimat presiden parti kepada anggota Majlis Tertinggi, Exco ketiga-tiga sayap, Ketua, timbalan, naib ketua, setiausaha, ketua penerangan dan bendahari bahagian-bahagian UMNO, serta Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian.

Sementara itu, perasmian perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti yang akan dirasmikan ketua masing-masing akan diadakan Rabu ini diikuti perasmian Perhimpunan Agung UMNO oleh presiden parti pada Khamis ini.

Dianggarkan seramai 5,732 anggota UMNO akan menghadiri perhimpunan kali ini dengan 2,762 anggota akan menghadiri perhimpunan agung Khamis ini, dan selebihnya akan menghadiri perhimpunan agung ketiga-tiga sayapnya iaitu 993 orang (Wanita), 992 (Pemuda) dan 991 (Puteri) pada Rabu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.