UMNO Dikhuatiri Hilang Sokongan Melayu Jika Tidak Ada Usaha Damaikan Pemimpin Yang Bertelagah - Syed Ali

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee bimbang parti itu akan hilang sokongan orang Melayu jika tidak ada usaha mendamaikan pemimpin yang bertelagah kerana perbezaan pendapat.

"Hari ini ada pihak seperti seronok melihat sesama pemimpin UMNO bercakaran sesama sendiri,mereka seolah-olah mahu menunggu kehancuran parti itu," tegasnya.

Beliau menjelaskan, musuh-musuh UMNO sememangnya mengambil kesempatan di atas perpecahan tersebut bagi memenagi hati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurutnya, ketika pemimpin UMNO sibuk berpolitik sesama sendiri dan bercanggah pendapat atas perkara yang boleh diselesaikan, musuh diluar sana (pembangkang) pula semakin aggresif menyerang UMNO.

"Kita tidak agresif untuk serang pembangkang, sebaliknya kita lebih ghairah untuk menyerang,mencerca dan mengutuk sesama kita (UMNO)," tegasnya kesal.

Beliau juga turut mengingatkan jangan ada 'api dalam sekam' di dalam UMNO kerana perbuatan itu akan menghancurkan parti.

"Saya harap jangan wujud perasit dalam parti yang cuba menangguk di air keruh, ini yang akan melemah dan merugikan perjuangan UMNO.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan turut mengingatkan pengamal media sosial agar lebih beretika serta bertanggungjawab dengan tidak sengaja menbesar-besarkan isu yang tidak sebesar mana.

"Kadangkala isunya tidaklah sebesar mana, tetapi sengaja dipanaskan dengan penyelewengan fakta untuk menarik perhatian umum," ujarnya.

Malah katanya, situasi itu sengaja dicetuskan pihak berkepentingan supaya sesama pemimpin UMNO bertelagah sehingga boleh memudharatkan perpaduan dalam parti.

"Batu api inilah yang sengaja adu domba sesama pemimpin," katanya sambil menegaskan musuh-musuh UMNO tidak akan berdiam diri untuk menghancurkan parti.

Syed Ali juga tidak menafikan mutakhir ini wujud seperti berlaku krisis keyakinan dan pertelagahan pendapat sesama pemimpin UMNO.

Sepatutnya kata beliau, usaha sudah dibuat untuk mendekatkan semula hubungan yang semakin jauh antara sesama pemimpin parti hanya disebabkan beberapa faktor tertentu.

"Apabila jarak kemesraan semakin jauh, ikatan permuafakatan sudah longgar, maka berlakulah kata-mengata dan mencerca sesama sendiri yang akhirnya memberi kesan buruk kepada parti," tegasnya

Beliau menjelaskan, semua pemimpin UMNO sama ada yang memegang tampuk kuasa dan yang tidak mempunyai jawatan berperanan penting kepada pengukuhan parti.

"Semuanya bertanggungjawab dan memikul amanah jika benar mereka sayangkan parti dan ikhlas berjuang untuk rakyat terutama orang Melayu," tegasnya..

Katanya, UMNO akan dilihat relevan dan bersih di mata rakyat selagi pemimpinnya bertanggungjawab dan mengutamakan kepentingan parti daripada agenda peribadi.

"Masalahnya, orang dah pandang UMNO tidak lagi seperti dulu, ini yang kita sepatutnya fikirkan dan beruasaha untuk menepis tanggapan sedemikian.

Syed Ali menegaskan, UMNO bukan sebuah parti untuk kepentingan seseorang individu atau puak tertentu tetapi melangkau kepentingan seluruh orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Justeru katanya, seseorang itu tidak boleh mendabik dada mendakwa bahawa mereka telah menyumbangkang banyak tenaga kepada parti kerana sumbangan itu adalah pengorbanan yang sememangnya perlu dilakukan.

"Sebagai ahli UMNO, tidak kiralah yang di atas mahupun di bawah, semuanya mempunyai peranan dan telah memberi sumbangan kepada parti, sehingga parti menjadi kukuh seperti hari ini,"ujarnya.

Atas kesedaran itu tambah beliau, ahli-ahli dan pemimpin UMNO akan dipersoalkan suatu hari kelak jika mereka dengan sengaja mengabaikan amanah dan meruntuhkan institusi tersebut.

Menurutnya lagi, UMNO perlu dipertahankan walau dengan apa cara sekalipun kerana parti itu merupakan benteng kepada kekuatan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.