Pembangkang Sekadar Bangkang, Main Politik Usaha Kerajaan


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan pembangkang sekadar membangkang usaha kerajaan dan hanya membangkitkan isu untuk dipolitikkan semata-mata.

Menurut beliau sesetengah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen yang tulen mereka membangkang dalam keadaan yang sesuai selain ianya disusuli dengan hujah-hujah yang tertentu.
“Dalam demokrasi berparlimen pembangkang mempunyai tugas tertentu iaitu membangkang untuk kebaikan negara, kebaikan sistem dan sebagainya. Tapi di Malaysia dari dulu sampai sekarang pembangkang hanya membangkitkan isu semata-mata untuk membangkang dan semua perkara dipolitikkan.

“Jadi kalau kita lihat dari rekod sejarah sekali pun pembangkang seperti Pakatan Rakyat tidak akan kekal dan kalau kita lihat Dap sendiri setiap kali mereka mempunyai pakatan biasanya pakatan itu akan longgar dan tidak menjadi,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau seterusnya percaya isu-isu yang berbangkit sebelum ini seperti 1MDB dan sebagainya tidak akan timbul lagi.

“Datuk Seri Najib boleh menunggu sehingga Perhimpunan Agung UMNO untuk menjelaskan segala-galanya. Rupa-rupanya beliau berpendapat bahawa inilah forum yang paling sesuai untuk menjelaskan segala-galanya. Beliau telah menjelaskan soal 1MDB, soal derma politik dan soal GST.

“Justeru sekarang ini saya berpendapat isu 1MDB dan isu dana politik tidak timbul lagi dan paling penting kita sama-sama perlu turun ke bawah dan lebih banyak masa bersama rakyat dan tunjukkan pada mereka bahawa kita ini prihatin dan dengan itu mereka akan tertambat hati dan pemikiran mereka untuk terus memberikan sokongan kepada kita.

“Yang penting kita buat kerja kita kerana apa yang kita lakukan sebelum ini adalah baik. Kerja kita membantu rakyat dan kerja pembangkang adalah membangkang jadi jangan samakan kerana ia merupakan dua tugas berbeza,”ujarnya. -MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.