Generasi Muda Perlu Sahut Cabaran Industri Asas Tani – Khairy


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyeru golongan muda terutamanya lepasan graduan untuk menceburi bidang asas tani yang kini semakin mendapat permintaan dalam dan luar negara.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO dalam ucapannya ketika ‘Town Hall Session’ di program Simposium Agropreneur Muda 2015 bertempat di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini menekankan golongan muda melihat industri asas tani sebagai satu bidang kerjaya tetap.

“Orang muda perlulah sedar akan peluang pekerjaan yang terdapat dalam bidang pertanian moden, bukan hanya memandang kerjaya-kerjaya ‘indoor’ yang hanya membolehkan mereka berada dalam pejabat.

“Tuhan telah kurniakan Malaysia dengan tanah yang subur, cuaca yang baik untuk kita tanam, kita tuai hasil daripada bumi tetapi kita masih lagi tidak menjadi negara yang tahap sara dirinya 100 peratus dalam makanan dan juga sayur-sayuran kita.

“Semuanya harus bermula dengan sikap orang muda itu sendiri dengan mengenepikan apa–apa mentaliti yang mengatakan kerja dalam industri pertanian hanya melibatkan kerja-kerja kotor dan terdedah kepada matahari.

“Kerajaan juga telah mengambil inisiatif dalam memperluaskan aktiviti eksport dengan menambah baik sistem logistik dan pensijilan mengikut ketetapan pasaran luar,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat pihak kementerian juga perlu memainkan peranan dalam memantau perkembangan terkini industri makanan asas dan pertanian agar usahawan muda di Malaysia tidak ketinggalan dari segi penggunaan teknologi.

Simposium Agropreneur Muda 2015 yang bertemakan ‘Kedaulatan Makanan Asas Kekuatan Negara’ menjadi platform dalam melahirkan lebih ramai usahawan tani yang mampu bersaing di peringkat global dengan peruntukan geran berjumlah RM90 juta dari kementerian pertanian.

Menurut Khairy, pertanian perlu menjadi satu pilihan bagi usahawan muda kerana ia adalah industri asas tani yang cukup banyak peluang.

“Pemuda UMNO pada amnya akan mengenal pasti calon penerima geran yang berkelayakan untuk menerima skim yang telah disediakan mengikut kriteria sedia ada,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa geran yang bakal diagihkan menjangkau sehingga RM 30,000 yang dilihat mampu untuk melonjakkan modal perniagaan sedia ada bagi usahawan muda.

“Dengan jumlah yang besar melalui geran yang diagihkan membolehkan usahawan ini membeli benih atau baja baru serta menambah baik kemudahan asas sekali gus meningkatkan keuntungan mereka,” katanya.

Khairy berkata demikian selepas sesi ‘Town Hall’ Simposium Agropreneur Muda yang diadakan di PWTC, di sini hari ini.- MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.