Pindaan Perketat Akta Cukai Pendapatan 1967


Pihak yang tidak memfailkan penyata cukai pendapatan dan kemudiannya didapati bersalah tidak berbuat demikian untuk dua tahun berturut-turut atau lebih boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Itu antara cadangan butiran pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di dewan Rakyat pada Selasa.

Denda antara RM200 hingga RM2,000 boleh dikenakan terhadap pihak yang tidak memfailkan penyata untuk satu tahun tertentu mengikut pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Kewangan 2015.
Untuk rekod, sesiapa yang gagal mengemukakan penyata cukai buat masa kini hanya boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, tanpa mengira bilangan tahun pulangan cukai tidak difailkan.

Mengikut cadangan pindaan kepada undang-undang cukai utama di bawah akta itu, penalti khas yang bersamaan tiga kali cukai pendapatan mengikut tafsiran boleh dikenakan terhadap pesalah yang terbukti gagal mengemukakan penyata terhadap setiap tahun terbabit.


Timbalan Menteri Kewangan, Chua Tee Yong dalam pembentangan RUU itu berkata, akta itu telah dijadualkan untuk bacaan kedua pada persidangan parlimen semasa.

Antara pindaan lain ACP itu adalah memberi kuasa kepada Ketua Pengarah untuk memerintahkan sesiapa sahaja memberikan sebarang maklumat berkaitan tuntutan pemotongan yang dituntut dalam mengira pelarasan untuk asas tahun taksiran dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Jika gagal, tiada potongan daripada pendapatan kasar boleh dibenarkan.

Lima undang-undang cukai lain yang dipinda bersama-sama dengan ACP ialah Akta (Cukai Pendapatan) Petroleum 1967, Akta Cukai Keuntungan Hartanah 1976, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan Akta Promosi Penggalakan Pelaburan 1986.

Jika RUU itu diluluskan, pindaan akan berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2015 dan seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.