Kerajaan Tidak Biaya Dana RM20 Bilion ValueCap

Kerajaan tidak menyediakan pembiayaan kepada Valuecap Sdn Bhd (ValueCAP) sebaliknya syarikat pengurusan dana khusus berkenaan diberi mandat untuk mengumpulkan dana sehingga RM20 bilion sekiranya perlu daripada pemegang sahamnya serta dana kewangan dan permodalan lain.

Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) dalam satu kenyataan hari ini berkata dana berkenaan adalah sebagai persediaan sekiranya senario kelembapan pasaran modal berterusan ekoran keadaan ekonomi global yang tidak menentu sekarang.

“Ia (dana) akan dilaburkan secara berperingkat bergantung kepada nilai saham semasa dan waktu yang sesuai,” kata jawatankuasa itu.

ValueCAP yang diaktifkan semula sebagai sebahagian langkah proaktif diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 September lalu untuk menstabilkan pasaran kewangan, mempunyai lembaga pengarah dan jawatankuasa pelaburan yang berasingan bagi mengawasi operasi pelaburannya.

JKE berkata ValueCAP dianggotai oleh pengurus pelaburan profesional yang mempunyai rekod prestasi cemerlang bagi memastikan objektif
pemegang sahamnya tercapai.

“Perlu ditekankan bahawa pengurusan ValueCAP adalah berpandukan kepada falsafah pelaburannya yang bermatlamatkan pulangan jangka panjang berasaskan proses pelaburan yang dinamik dan berdisiplin,” kata jawatankuasa itu.

Bagi memastikan ValueCAP berjaya mencapai matlamatnya, JKE berkata syarikat berkenaan akan sentiasa mengamalkan tadbir urus korporat berpandukan amalan pasaran yang terbaik.

JKE berkata penubuhan ValueCAP pada 2002 adalah bertujuan mengambil peluang melabur dalam saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang mempunyai asas perniagaan kukuh tetapi mengalami penekanan harga saham kerana sentimen pasaran sehingga harga saham yang diniagakan jauh lebih rendah.

Pada 2003, ValueCAP mempunyai pelaburan berjumlah RM5.1 bilion disalurkan daripada pemegang sahamnya iaitu Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd.

“Pemilihan kaunter saham untuk ‘cakerawala pelaburan’ (stock universe) ValueCAP juga dibuat berasaskan penilaian rapi dan objektif, bukan berpandukan sentimen dan spekulasi,” kata jawatankuasa itu.

Hasilnya, kata JKE, sejak 2003 hingga 2013, ValueCAP mencatatkan prestasi membanggakan dengan mencapai purata pulangan pelaburan setinggi 16.3 peratus setahun berbanding purata 10 peratus setahun peningkatan yang dicatatkan oleh Indeks Komposit Kuala Lumpur pada tempoh yang sama.

Pada akhir 2013, ValueCAP menghasilkan keuntungan terkumpul berjumlah RM8.5 bilion yang mana RM8.4 bilion telah diagihkan kepada ketiga-tiga pemegang sahamnya dan boleh dilaburkan semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.