Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Sokong Wujudkan Hub IT Di Medan MARA


MENYOKONG CADANGAN MEWUJUDKAN PUSAT JUALAN ALAT TELEKOMUNIKASI KHAS UNTUK USAHAWAN MELAYU & BUMIPUTERA

Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan (PPUWP) bersetuju dengan cadangan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB Dato’ Seri Ismail Sabri mengenai hasrat beliau dan agensi mahu mewujudkan pusat jualan alat telekomunikasi dan gajet-gajet, khas buat usahawan Melayu Bumiputera di dalam premis milik MARA.

Melihat kepada perkembangan isu semasa yang melanda negara baru-baru ini, inilah titik awal Melayu Bumiputera bangkit daripada kekecewaan dek sikap biadap peniaga di Plaza Low Yat, Bukit Bintang yang enggan bertolak ansur dan pastinya sikap biadap samseng mereka itu adalah detik akhir kita berurusniaga dengan mereka.
Bahkan keadaan yang serupa di Pertama Complex tidak memihak kepada orang Melayu untuk berbelanja kerana kebanyakan premis perniagaan alat telekomunkasi di bangunan milik UDA ini sudah lama didominasi oleh kaum Cina saja.

Hasrat menaikkan usahawan Melayu dalam bidang ini, bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk dilaksanakan dan PPUWP sentiasa yakin sambutan positif yang bakal diterima kelak daripada rakyat yang menyokong cadangan ini pasti akan membuahkan hasil yang baik untuk semua pihak.

Bahkan kewujudan pusat jualan ini bukan saja hanya dapat membantu usahawan berniaga dengan suasana persaingan yang sihat tetapi ia baik untuk memperkasakan keupayaan usahawan Melayu Bumiputera bersaing merebut peluang yang senantiasa ada berdasarkan permintaan orang ramai yang tidak akan putus.

Disamping itu PPUWP berterima kasih kepada YB Dato’ Seri Ismail Sabri yang menerima dan mengangkat usul oleh Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kepong yang mendesak campur tangan kerajaan agar dapat memecah monopoli perniagaan yang hari ini diketahui umum hanya dipelopori oleh pembekal dan peniaga kaum Cina saja.

PPUWP berharap agar agensi kerajaan seperti MARA, MITI dan lain-lain dapat memberi galakan dan dorongan buat usahawan Melayu Bumiputera untuk menjadi pembekal alat telekomunikasi dan gajet-gajet daripada pengeluar secara terus.

Harapan buat YB Dato’ Seri Ismail Sabri agar cadangan ini dilaksanakan secepat mungkin kerana kita sudah semakin kesempitan masa untuk bersaing dengan kaum Cina yang semakin hari semakin luas bidang yang dipelopori oleh mereka.


MOHD RAZLAN BIN MUHAMMAD RAFII

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan

12 Ogos 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.