Setiausaha Agung Ajak Ahli UMNO Berpegang Teguh Kepada Matlamat Perjuangan Parti @TengkuAdnanReal

KENYATAAN MEDIA OLEH SETIAUSAHA AGUNG UMNO

Saya terpanggil untuk meminta semua ahli-ahli UMNO, dari kepimpinan atas hinggalah ahli-ahli di akar umbi agar mengambil sikap bertenang dan berfikir secara rasional berhubung pelbagai isu yang berlaku di sekeliling kita sejak kebelakangan khususnya serangan bertali arus terhadap Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Seharusnya kita terus memberikan sokongan padu kepada pemimpin atasan kita serta memberi ruang kepada beliau untuk memikirkan tindakan yang sewajarnya diambil demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Dalam masa yang sama, saya menyeru semua ahli UMNO untuk meneruskan fokus perjuangan parti selaras dengan gerak kerja yang telah diatur.

Kita perlu sedar bahawa dalam keadaan kita hari ini tentunya kita perlu terus waspada dan tidak alpa kerana pihak lain khususnya pembangkang sentiasa mencari ruang dan peluang bagi merobohkan perpaduan dan kesatuan yang menjadi benteng kita selama ini.

Usahlah kita terpengaruh dengan pelbagai manipulasi dan provokasi yang dilontarkan oleh mereka malah sikap mereka yang kononnya gemar menangguk di air keruh juga perlu kita awasi.

Sehubungan itu, sekali lagi saya mengajak ahli-ahli UMNO sekalian untuk terus berpegang teguh kepada matlamat perjuangan parti dan memastikan demokrasi terus subur.

Sekian, terima kasih

Tengku Adnan Tengku Mansor
Setiausaha Agung UMNO

Kuala Lumpur, 7 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.