UMNO Wilayah Persekutuan Lafaz Sokongan Kepada Najib @NajibRazak @TengkuAdnanReal


UMNO Wilayah Persekutuan hari ini melafazkan sokongan dan taat setia tidak berbelah bahagi kepada kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Pada masa sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau menyampaikan rasa hormat yang sangat tinggi kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang banyak berjasa dan berbakti kepada kepentingan rakyat dan negara. 

"Mutakhir ini, kita melihat komen-komen dilemparkan kepada Datuk Seri Najib dan Dr Mahathir sudah sampai ke peringkat menghina dan menyentuh keperibadian kedua-dua pemimpin terbabit. Tidak kurang juga yang memberikan komen negatif terhadap Tun Dr Mahathir yang tidak sepatutnya dilakukan terhadap bekas Perdana Menteri yang banyak berjasa kepada negara itu.

"Kami memang tidak bersetuju dengan komen negatif dilemparkan terhadap Datuk Seri Najib Razak yang sudah banyak berjasa kepada rakyat dan negara selaku Perdana Menteri. Seharusnya kita semua menyokong dan memberi peluang kepada beliau melaksanakan segala program transformasinya demi faedah rakyat dan negara," katanya kepada pemberita di sidang media khas sempena program Pemukiman UMNO Wilayah Persekutuan di sini..

Dalam pada itu Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO mengingatkan semua pihak bahawa musuh sebenar UMNO ialah pakatan pembangkang.

"Harus diingat bahawa musuh sebenar UMNO ialah tentangan daripada pakatan pembangkang dan bukannya bertelagah sesama sendiri atas isu dilihat bersangkut dengan kepentingan peribadi. Keutamaan kita ialah memperkasakan UMNO dan mengekalkan sokongan orang Melayu terhadap parti bukannya terjebak dan terseret dengan isu yang sengaja diputarbelitkan oleh pihak tertentu," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.