HELP Tuisyen Pemuda Diperluaskan Dengan Tambahan 50 Lagi Pusat Tuisyen


Menyedari kepentingan pendidikan dapat membantu mengubah nasib seseorang ke tahap lebih baik, Program HELP Tuisyen diteruskan tahun ini dengan tambahan 50 pusat tuisyen di seluruh negara.

Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun berkata, program tuisyen anjuran Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda UMNO (Biro HELP) adalah satu inisiatif parti menaik taraf hidup masyarakat, terutamanya dalam pendidikan, untuk membantu anak-anak muda kurang berkemampuan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
“Program tuisyen percuma ini bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah akan dilaksanakan bermula bulan Jun ini di kira-kira 100 kawasan Parlimen seluruh negara membabitkan 10,000 pelajar dengan peruntukan RM5.2 juta.


“Para pelajar akan dibantu guru-guru terbaik, cemerlang bagi menghasilkan pelajar-pelajar berkeyakinan tinggi, berpotensi serta bermotivasi tinggi seterusnya mendetikkan transformasi dalam diri pelajar bagi mencapai kejayaan dan impian.

“Penggunaan guru-guru pakar dan cemerlang ini diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada pembelajaran pelajar sekaligus melengkapkan mereka dalam menghadapi situasi peperiksaan yang sebenar,” ujarnya kepada media selepas Majlis Taklimat Dan Pra Pelancaran HELP Tuisyen 2015 di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Husin berkata, Pemuda UMNO sentiasa mengambil berat kesusahan golongan kurang berkemampuan dan membantu bukan hanya untuk mendapat pendidikan tertinggi, malah juga pekerjaan.

“Kalau kami bagi mereka duit, duit itu akan habis. Jadi kami fikir lebih baik bantu mereka untuk capai pendidikan ke menara gading dengan memberi khidmat tuisyen secara percuma, kami asuh mereka, supaya mereka mampu berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Jelasnya lagi ini adalah bantuan kepada pelajar yang tidak berkemampuan untuk ke pusat tuisyen akibat kekangan terutama melibatkan wang ringgit.


“Para pelajar HELP tuisyen yang berjaya dapat keputusan cemerlang akan dibantu untuk melanjutkan pengajian di IPTA dan pusat-pusat pengajian di bawah MARA manakala pelajar yang dapat keputusan kurang memuaskan akan dibantu untuk menceburi bidang kemahiran di institut-institut kemahiran yang disediakan di bawah MARA.

“Ini adalah bukti UMNO sentiasa mengambil kira kesusahan golongan yang memerlukan bantuan dan bukan setakat mendapatkan pendidikan sempurna, malahan sehinggalah mereka melangkah ke alam pekerjaan. UMNO sentiasa kotakan janji dalam membantu rakyat terutama di luar bandar,” tambahnya yang juga EXCO Pemuda UMNO Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.