Waspada Golongan Salah Guna Konsep Jihad - titah Agong

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah rakyat perlu berwaspada dengan propaganda golongan ektrem dan tidak terpedaya dengan dakyah menyalahgunakan konsep jihad atas nama agama.

Baginda bertitah, pihak berkuasa juga perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat perpaduan negara dengan mengadu domba dan menyebarkan fitnah termasuk menerusi media sosial.

"Beta ingin menasihatkan golongan ini menghentikan terus perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit," titah baginda ketika merasmikan pembukaan mesyuarat pertama, penggal ketiga Majlis Parlimen ke-14 di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri-menteri Kabinet.

Tuanku Abdul Halim juga menitahkan bahawa kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan perlu dipatuhi dan tidak dipersoalkan, sementara agama lain bebas diamalkan.

Baginda bertitah, perbezaan pandangan mengenai isu agama perlu dirujuk kepada pihak berkuasa tanpa perlu dipolemikkan.

"Konsep kebebasan bersuara juga hendaklah diamalkan dengan bertanggungjawab dan tidak menimbulkan sebarang ketegangan dalam kalangan rakyat," titah baginda.

Sebagai sebuah negara Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, Tuanku Abdul Halim meminta rakyat berpegang kepada prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Beta menyeru agar semua pihak faham bahawa sistem pemisahan kuasa di antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman telah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang," titahnya.

Terdahulu, baginda berharap rakyat dapat menjayakan inisiatif pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksana kerajaan bermula 1 April ini.

Baginda bertitah, pelaksanaan cukai itu diyakini mampu memperkukuh kewangan negara, seterusnya memberi manfaat dan faedah kepada ekonomi negara untuk tempoh jangka panjang.

Kerajaan juga, titah baginda, telah melakukan yang terbaik dalam pengurusan ekonomi dan pentadbiran negara, sementara program transformasi kerajaan seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya dilaksana secara konsisten di bawah kepemimpinan sedia ada.

Memulakan titah ucapan itu, baginda turut mendoakan kesejahteraan keluarga mangsa tragedi pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370 dan MH17 supaya mendapat ketenangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.