Perhimpunan Syok Sendiri Gagal, Rakyat Semakin Bosan - @razlanrafii


Perhimpunan kemuncak #KitaLawan yang berlangsung di ibu negara petang tadi tidak ubah seperti himpunan 'syok sendiri' dan hanya menyusahkan orang ramai untuk bersantai pada hujung minggu.

Perhimpunan itu menyebabkan lalu lintas menghala ke ibu kota sesak teruk.

Rata-rata pengguna media sosial menyuarakan rasa tidak puas hati mereka yang terpaksa berhujung minggu dengan situasi yang tidak menyenangkan itu.

Seorang pengguna twitter dengan tanda nama ?@cinta4malaysia berkata "Kurang sambutan #KitaLawan menunjukkan lebih ramai rakyat tolak himpunan #syoksendiri ini".

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata perhimpunan 'syok sendiri' yang diadakan oleh Parti Keadilan Rakyat itu tidak membawa apa-apa makna dan impak kepada kerajaan.

"Ini semua cerita dongeng mereka. Rakyat mahu ke hadapan dan rata-rata sudah fed-up (bosan) dengan permainan kepentingan PKR semata-mata," katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Tinjauan Bernama mendapati kira-kira 3,000 penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berarak di sekitar ibu kota di tiga kawasan iaitu Pasar Seni, Masjid Jamek dan Ibu Pejabat PAS di sini dan bertemu di kompleks membeli-belah Sogo bermula 3 petang tadi.

Turut serta dalam perhimpunan tersebut Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Perhimpunan itu bagi melahirkan sokongan kepada Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara akibat kesalahan meliwat.

Anggota polis turut bertugas mengawal keadaan. Kumpulan itu kemudiannya mula bersurai 6.30 petang ini.

Pada 10 Feb lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful Bukhari pada 26 Jun, 2008.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.