Sempadan Ideologi Politik Bukan Penghalang Kepada Kerjasama UMNO - PAS


Cadangan supaya PAS bergabung dengan UMNO merupakan satu idea baik demi kepentingan masa depan negara, kata Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Malah Ketua UMNO Bahagian Cheras itu berpendapat jika kerjasama politik kedua parti tersebut menjadi realiti ia bakal memberi keuntungan besar kepada orang Melayu dan umat Islam.

“Idea dan cadangan itu sangat baik ketika orang Melayu dan umat Islam di negara ini berdepan dengan pelbagai tekanan,” tegasnya.
Beliau menjelaskan bahawa UMNO sejak dari dulu lagi tidak mempunyai masalah untuk menjalin kerjasama dengan PAS walaupun pada dasarnya mempunyai perbezaan ideologi politik yang ketara.

“Apa pun pada hemat saya, sempadan ideologi yang menjadi penghalang itu boleh diruntuhkan jika benar-benar ikhlas dan bertanggungjawab demi kepentingan negara dan rakyat secara keseluruhannya.

UMNO kata beliau, sentiasa ikhlas dan mengamalkan pintu terbuka untuk duduk semeja dengan parti itu atas kepentingan bersama.

Bagaimanapun beliau berharap jika PAS mahu bekerjasama dengan UMNO bukan disebabkan parti itu sedang berdepan dengan tekanan DAP dan PKR bersabit cadangan pelaksanaan hukum hudud.

“Kita alu-alukan cadangan tersebut, tetapi kerjasama itu perlu menjuruskan kepada kepentingan secara menyeluruh demi masa depan negara dan orang Melayu,” tegasnya lagi.

Sejak akhir-akhir ini suara akar umbi PAS mula kedengaran yang mahu melihat terjalinnya hubungan politik dengan UMNO selepas kematian Mursyidul Am PAS, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga bekas Menteri Besar Kelantan.

Seorang pemimpin PAS Terengganu, Roslan Ismail yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi memberikan cadangan kerjasama itu melalui akaun Facebooknya.

"Jika saya di tapak Tuan Guru Presiden, saya akan gunakan ruang ini untuk melakar satu sejarah terbaru kepada rakyat Malaysia dengan bergabung dengan UMNO/BN untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan melaksanakan hudud secara sistematik selepas ini," tulis Roslan.
Roslan membuat cadangan itu selepas kematian Nik Aziz yang menjadi penentang utama kerjasama politik antara PAS dengan UMNO.

Roslan sebelum ini menulis dengan marah membantah kenyataan Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo yang berkata PAS bukan lagi sebahagian komponen Pakatan Rakyat (PR) jika bertegas bentang rang undang-undang pindaan hudud di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 18 Mac ini.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Asri Zainul Abidin turut menyarankan agar PAS membentuk kerajaan campuran bersama dalam usaha menjayakan matlamat parti Islam itu yang selama ini berjuang memperbaiki politik UMNO.

Beliau berkata, kerjasama antara PAS dan UMNO dilihat sebagai usaha yang membawa ke arah kebaikan dan dianggap sebagai suruhan agama dan perlu dilaksanakan secepat mungkin.

"PAS berjuang di luar sekian lama untuk membaiki politik UMNO, mengapa tidak PAS mencubanya pula dalam satu kerajaan," kata Asri dalam tulisan di Facebooknya awal pagi ini.

Mengulas lanjut isu tersebut, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, apa pun pandangan kerjasama itu ianya perlu bersandarkan kepada keikhlasan.

“Jika kerjasama itu diyakini membawa jalan kebaikan, saya percaya akan mendapat sokongan banyak pihak, tetapi asasnya mesti ikhlas dan tidak tersirat agenda tertentu,” ujarnya.

Mengalu-alukan cadangan tersebut, beliau berkata UMNO sejak diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak selaku presiden parti telah berjaya melakukan transformasi politik secara menyeluruh.

Oleh sebab itu katanya, Najib pernah menyatakan pandangan beliau bahawa UMNO sentiasa bersikap terbuka dan tiada halangan untuk menjalinkan kerjasama dengan PAS.

“Tetapi malangnya ketika itu Nik Aziz menentang keras sebarang usaha untuk menjalin kerjasama politik dengan UMNO,” tegasnya.

Malah kata Syed Ali lagi, beliau juga pernah bebrapa kali menyuarakan pendapatnya bahawa sudah sampai masanya PAS-UMNO bersatu demi survival orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Tambah beliau lagi, senario masa kini menunjukkan kedudukan orang Melayu semakin terhimpit dengan bbit-bibit perpecahan yang dianjurkan oleh pihak berkepentingan.

“Ada satu kumpulan mahu melihat orang Melayu berpecah-belah, mereka meniupkan sentimen sensititif seperti isu agama, budaya dan kaum supaya perpaduan rakyat dan keharmonian negara terjejas,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.