Polis Kena Bertindak Tegas Demo Besar Pro Anwar - Syed Ali


Jangan cabar undang-undang negara dan tolong hormati institusi mahkamah itulah peringatan yang diberikan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee kepada gabungan parti-parti politik dan NGO yang mahu mengadakan perhimpunan di ibu kota sebagai reaksi terhadap pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hari ini portal berita Malaysiakini melaporkan Ketua Pengarah Strategi Pemuda PKR (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad dalam sidang medianya mengumumkan pembentukan gabungan dinamakan ‘KITA LAWAN’ dan turut menyatakan hasrat mereka mengadakan perhimpunan pada 7 dan 8 Mac sebagai tindakan balas terhadap pemenjaraan Ketua Pembangkang itu.
Gabungan anak muda NGO politik itu juga mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan atas dakwaan terlibat konspirasi politik seperti didakwa Anwar dan menuntut pembaharuan sistem kehakiman negara.

Dalam sidang media yang sama, Nik Nazmi turut menggesa kesemua pemimpin Pakatan Rakyat termasuk orang ramai hadir dalam perhimpunan dijangka diadakan pada 7 dan 8 Mac sekitar pukul 4 petang di pusat beli belah Sogo.

Tegas Syed Ali, sebarang penganjuran perhimpunan haram yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat perlu dibendung atau dipatahkan oleh pihak yang berkuasa. Tiada mana-mana pihak yang boleh menjadi ‘hakim’ kepada negara.

Kata Syed Ali sebelum gabungan ini menganjurkan demo besar-besaran secara haram ini sehingga boleh menjejaskan keselamatan awam, pihaknya mahu pihak polis mengambil tindakan awal dengan menahan pihak penganjur sekaligus mematahkan perbuatan jelas tidak bertanggungjawab ini.

“Sebelum himpunan ini boleh mencetuskan sebarang huru hara dan boleh mengancam keselamatan awam saya mahu pihak polis mengambil tindakan tegas atas sebarang aktiviti atau himpunan –himpunan jalanan yang saya sifatkan sebagai satu protes tidak bertanggungjawab atas tindakan memenjarakan Anwar.

“Sebelum ini saya sudah nyatakan berkali –kali bahawa semua pihak kena menghormati institusi mahkamah sudah menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar atas kesalahan meliwat. Keputusan yang dibuat oleh mahkamah adalah bebas tanpa menerima tekanan atau gesaan orang politik. Ini bermakna tiada sebarang unsur konspirasi dalam kes ini,” katanya.

Tambah Syed Ali, kes liwat II Anwar sudah mengambil masa 7 tahun dan beliau diberikan peluang secukup-cukupnya untuk membela diri. Masa 7 tahun bukan masa yang singkat tetapi kenapa Ketua Pembangkang itu tidak memanfaatkannya dengan baik.

“Kenapa bila mahkamah sudah membuat keputusan maka Anwar sendiri pertikaikan? Keputusan yang dibuat oleh mahkamah bersandarkan kepada keseluruhan fakta kes dan tiada sebarang tekanan atau konspirasi politik dalam kes ini,” katanya.

Syed Ali menegaskan, kalau bersandarkan kepada himpunan atau demonstrasi jalanan yang sudah- sudah boleh mengakibatkan harta awam musnah dan tidak kurang ada yang tercedera ada baiknya pihak polis mengambil tindakan tegas dan menahan pihak penganjur yang terbabit dalam himpunan bakal diadakan pada bulan hadapan.

“Saya melihat demo pro –anwar bakal dianjurkan pada bulan hadapan bukan setakat mempertikaikan keputusan mahkamah memenjarakan Anwar juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan. Ini jelas perbuatan biadap dan langsung tidak menghormati institusi Perdana Menteri yang kita hormati selama ini.

“Sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini ada baiknya polis bertindak menahan mereka yang terbabit dalam penganjuran himpunan haram ini. Malah saya menggesa orang ramai agar jangan menggunakan jalan raya untuk memprotes atau melakukan perbuatan boleh mencederakan perpaduan kalangan rakyat di negara ini.

“Negara ada undang-undangnya sendiri dan jangan jadi bodoh terbabit dalam himpunan yang sia-sia ini. Ini termasuklah pihak penganjur yang sengaja menganjurkan perhimpunan jalanan langsung tidak memikirkan impaknya perlu dikenakan tindakan tegas sebelum perkara memudaratkan melanda negara ini,” katanya.

Tambahnya lagi, sebarang penganjuran himpunan yang tidak sah di negara ini perlu dijauhkan dan pihak berkuasa kena mengekang perbuatan seumpama ini dengan menahan mereka yang terbabit sebagai pengajaran kepada pihak lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.