Malaysia & Kemboja Perkukuh Kerjasama Dua Hala Dalam Pertahanan

Hishammuddin diminta bantuan oleh pelancong dari German untuk menangkap gambar kenangan mereka di Angkor Wat, Kemboja.

Kementerian Pertahanan Malaysia dan Kementerian Pertahanan Nasional Kemboja menandatanghani Surat Hasrat untuk mengukuhkan kerjasama dua hala dan hubungan bagi kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata surat itu menyatakan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pertahanan dan hubungan rakyat dengan rakyat melalui kerjasama ketenteraan.


"Ini termasuk, tetapi tidak terhad kepada latihan tentera, pertukaran kakitangan, perkongsian maklumat dan penggunaan kemudahan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hishammuddin menghadiri mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Kemboja dan Menteri Pertahanan negara itu Jen Tea Banh di Phnom Penh, Kemboja.

Beliau berkata oleh kerana terdapat keperluan bagi kerjasama yang berterusan dan efektif demi kepentingan kedua-dua negara, kedua-dua kementerian akan berusaha untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk merealisasikan dan melaksanakan kerjasama Pertahanan antara Malaysia dan Kemboja.

Beliau berkata, semasa mesyuarat dua hala, kedua-dua kementerian juga bersetuju untuk bekerjasama dengan negara-negara ASEAN yang lain untuk memajukan lagi bidang-bidang tertentu bagi faedah bersama.

Hishammuddin berkata, beliau dan Banh bersetuju bahawa usaha-usaha Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di rantau ini perlu dikongsi bersama antara semua negara anggota ASEAN.

Katanya beliau akan berlepas ke Laos esok untuk mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Leftenan Jeneral Sengnuan Saiyalath.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.