Pemohon PPR Ditipu Buta²


Seramai 12 pemohon rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) menanggung kerugian selepas diperdaya seorang individu yang mendakwa boleh mempercepatkan kelulusan permohonan mereka.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Wan Mohammad Ghazali Nor, berkata, kesemu­a mangsa­ mengakui berurusan dengan­ individu terbabit yang mendakwa sebagai ‘orang tengah’ kepada DBKL.
Jelasnya, mangsa telah membayar antara RM200 hingga RM1,500 kepada individu berkenaan kononnya­ bagi mempercepatkan proses permohonan tersebut.

“Mangsa juga mendakwa individu berkenaan menjanjikan kelulusan dalam tempoh tiga bulan selepas berurusan dengan ‘orang dalam’ DBKL.

“Kita akan menyiasat perkara ini dan jika benar ia membabitkan ‘orang dalam’, kita akan ambil tindakan terhadap individu yang dimaksudkan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

PPR merupakan satu program penempatan semula setinggan dan golongan berpendapatan rendah yang bertujuan menyediakan kediaman selesa untuk mereka.

Pada masa ini terdapat sebanyak­ 74,000 unit PPR di bawah kendalian DBKL dengan sewa serendah RM124 sebulan.

Menurut Wan Mohammad Ghazali,­ mangsa mengadu perkara itu kepada pihaknya kerana mereka menerima surat daripada DBKL menyatakan permohonan telah diterima namun tiada kekosongan unit.

“Perkara tersebut berlaku kerana permohonan boleh dibuat oleh seseorang individu yang mewakili orang lain seperti golongan orang kurang upaya.

“Bagi mengelak masalah serupa berulang, kita membuat keputusan memansuhkan amalan itu dan selepas ini hanya akan menerima permohonan daripada penama,” ujarnya.

Jelasnya, DBKL tidak pernah melantik pihak ketiga sebagai ejen dalam proses menyewa rumah PPR.

“Saya menasihatkan supaya orang ramai khususnya warga kota tidak berurusan dengan pihak ketiga,” katanya.

Menurutnya, beliau telah membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan berhubung perkara tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.