Selain Tarik Balik Pasport, Taraf Warganegara Juga Harus Dilucutkan - Syed Ali


Selain Paspot Malaysia Antarabangsa (PMA) di tarik balik, kerajaan juga disarankan supaya melucutkan taraf kerakyatan penulis blok seks, Alvin Tan dan aktivis bebas, Ali Abd. Jalil yang kini dipercayai bersembunyi di luar negara.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabsheeberpendapat, tindakan melucutkan taraf warganegara mereka berdua sebagai pengajaran kepada individu atau pihak tertentu supaya tidak menyebarkan fitnah, provokasi dan cercaan menerusi laman-laman sosial.
"Saya menyifatkan tindakan Jabatan Imigresen menarik balik PMA kedua individu berkenaan sebagai berasas dan tepat memandangkan kegiatan mereka berdua telah menimbulkan keresahan dan kemarahan rakyat di negara ini," tegasnya.

Katanya, tindakan jabatan berkenaan juga membuktikan bahawa kerajaan tidak bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi dan fitnah terancang walaupun mereka telah melarikan diri ke luar negera.

Menurut beliau, perbuatan Alvin Tan dan Ali Abd. Jalil yang sebelum ini menggunakan laman sosial sebagai medium untuk 'meyerang' institusi raja-raja Melayu, umat Islam dan cubaan menggugat kestabilan politik negara amat serius.

Perbuatan mereka katanya, telah mencetuskan keresahan di kalangan rakyat pelbagai kaum disamping menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.

Sehubungan itu tambah beliau, adalah wajar kerakyatan mereka berdua turut ditarik balik memandangkan tindakan tersebut jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan tidak menghormati perlembagaan negara.

"Mana-mana individu yang tidak setia kepada negara, bersikap pengkhianat sewajarnya dilucutkan segera taraf kerakyatan," katanya.

Dalam kes Alvin Tan dan Ali Abd. Jalil katanya, mereka berdua sudah terbukti tidak lagi menunjukkan taat setia kepada negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali juga mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) lebih pro-aktif menangani penyebaran fitnah dan provokasi memburukkan kerajaan dan pemimpin negara yang dilakukan pihak tertentu menerusi media baru.

Beliau menegaskan, perbuatan menyebarkan fitnah dan hasutan jika tidak ditangani secara serius dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada kestabilan negara.

"Kerajaan kena bertegas dalam hal ini, tidak kira individu , pertubuhan bukan kerajaan mahupun parti politik, mereka yang sebarkan fitrnah dan menghasut rakyat perlu dikenakan tindakan undang-undang," tegasnya.

Semalam (Isnin) Jabatan Imigresen telah menarik balik PMA Alvin Tan dan Ali Abd. Jalil berkuatkuasa serta merta berdasarkan kesalahan mereka.

Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, surat penarikan balik pasport kedua-dua individu terbabit akan dihantar ke alamat terakhir mereka selain diwartakan dalam akhbar-akhbar tempatan sebagai makluman.

Katanya, sistem Jabatan Imigresen juga telah menyenaraihitamkan kedua-dua individu terbabit dan sekiranya mahu pulang ke negara ini, mereka perlu memohon Sijil Perakuan Cemas terlebih dahulu di Kedutaan Malaysia.

“Kesalahan mereka menghina mahkamah, menghina Islam dan menghina institusi raja telah mengganggu-gugat ketenteraman sekali gus menimbulkan rasa tidak se­nang rakyat Malaysia, jadi keputusan menarik balik pasport kedua-dua individu ini amat tepat.

“Penarikan balik pasport ini sah kerana kerajaan berhak untuk berbuat demikian, sama ada mereka tahu atau tidak mengenai penarikan balik pasport ini, itu adalah masalah mereka. Kita sudah maklumkan melalui surat yang dihantar,” katanya dalam sidang akhbar, di sini di Kuala Lumpur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.