Lantang Kritik SPR Tapi Pemilihan Majlis Peguam Sendiri Penuh Adegan Melucukan

Seorang pengamal undang-undang, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang menjadi calon dalam pemilihan ahli jawatankuasa majlis peguam menyifatkan sistem pemilihan yang digunakan oleh badan tersebut merupakan sistem pemilihan yang kelakar dan lucu.


Menurut beliau, majlis peguam sepatutnya membersihkan sistem pemilihan mereka terlebih dulu sebelum mendesak SPR melalui NGO Bersih untuk membersihkan sistem pilihanraya negara.
“Saya lihat sistem pemilihan yang digunakan oleh majlis peguam satu sistem yang kelakar dan melucukan. Calon yang bertanding tidak boleh lihat sendiri pengiraan undi yang dilakukan, sebaliknya calon-calon diletakkan di dalam sebuah bilik kira-kira 300 meter dari bilik pengiraan undi. Kita hanya boleh menyaksikan pengiraan undi dengan menggunakan kamera litar.

“Yang kelakarnya, kamera litar yang digunakan itu kadang kala blackout dan tergendala kerana mereka hanya menggunakan broadband biasa saja. Bagi pengiraan undi, ada lapan kaunter tetapi di kamera litar itu hanya menunjukkan satu kaunter saja, dan kita tak tahu apa yang berlaku pada tujuh kaunter lagi.

“Jadi kita tak nampak secara keseluruhannya kaunter pengiraan undi tersebut dan pastinya perkara seperti ini akan menimbulkan rasa curiga dan membuka ruang bagi penyelewengan untuk berlaku,” tegas beliau ketika dihubungi UMNO-Online di sini hari ini.

Kata beliau lagi, jika SPR menggunakan sistem yang sama untuk pengiraan undi sepertimana yang digunakan oleh majlis peguam, pasti badan itu menjadi suara awal yang akan mengkritik dan memperlekehkan SPR.

“Itu yang saya katakan tadi, majlis peguam bersihkanlah dulu cara pemilihan mereka dulu sebelum nak mengkritik SPR. Sistem pemilihan majlis peguam sangat-sangat ketinggalan zaman dan amat menggelikan hati.

“Apa yang pasti, pemilihan yang dilakukan oleh majlis peguam ini tidak dapat membantu memulihkan kepercayaan seluruh peguam di negara ini terhadap majlis peguam, bahkan melihat sistem pemilihan yang dilaksanakan itu sebagai satu pemilihan yang sangat melucukan dan memalukan,” ujarnya. - MediaUMNO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.