Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik - Datuk Zainal Abidin


Kerajaan diminta menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik kepada golongan pertengahan di kawasan bandar.

Bagi mencapai hasrat itu, wakil UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Zainal Abidin Mohd. Rafique mahu kerajaan mensyaratkan agar perumahan mampu milik yang dibina oleh pihak swasta dijual kepada agensi-agensi kerajaan.
Katanya, melalui kaedah itu, kerajaan dapat mengendali dan mengawal harga penjualan rumah bagi menge­lakkan nilai jualannya lebih tinggi jika berada dalam pasaran hartanah.

Malah, jelasnya, langkah serampang dua mata berkenaan tidak akan menghalang pemilik asal membuat keuntungan daripada penjualan rumah mereka apabila harga pembelian akan ditentukan mengikut keadaan semasa.

Agensi-agensi kerajaan yang membeli pula, menurutnya, mestilah kemudiannya menjual semula rumah-rumah berkenaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dengan harga yang tidak terlalu tinggi.

“Sudah sampai masanya kerajaan merangka perancangan dan strategi berbeza untuk mendekati golongan ini agar mereka berasa terbela dan tidak dipinggirkan.

“Ini amat penting untuk UMNO, jika tidak kita akan terus kehilangan kerusi Parlimen di kawasan bandar,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang berkata, golongan pertengahan perlu diberi perhatian kerana lebih 70 peratus penduduk di Kuala Lumpur terdiri daripada kumpulan tersebut.

Tambahnya, kebanyakan golongan pertengahan merupakan pembayar cukai, namun mereka sering terpinggir daripada pelan pembangunan kerajaan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan ia kemudiannya diterjemahkan dengan menyokong parti pembangkang pada pilihan raya.

“Pada pilihan raya lalu, kita hanya menang dua kerusi di kawasan bandar iaitu Kangar dan Johor Bahru manakala di Wilayah Persekutuan pula, kita hanya menang di Putrajaya dan Labuan. Di Kuala Lumpur kita menang di Setiawangsa dan Titiwangsa walhal UMNO dan kerajaanlah yang membangunkan kawasan bandar.

“Jika kita silap perhitungan, tidak mustahil orang Melayu akan kehilangan kuasa di bumi sendiri, yang tinggal hanya nama-nama jalan seperti Jalan Dato Onn, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Razak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.