UMNO Wajib Berubah Dan Lantang Bersuara

Pemimpin dan ahli UMNO perlu berubah dan lebih lantang bersuara bagi meyakinkan orang Melayu bahawa UMNO adalah wadah terbaik untuk mempertahankan agama Islam dan generasi masa depan.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, UMNO perlu berjuang habis-habisan dan terus lantang bersuara terutama apabila membabitkan soal akidah dan maruah malah konsep wasatiyyah perlu diungkap dengan makna keseimbangan dan bukan lagi bermaksud sederhana dalam melakukan sesuatu perkara.

“Bagi kita, perjuangan habis-habisan dan kelantangan itu juga adalah satu bentuk perimbangan dan keseimbangan apabila kena pada masa dan topiknya kerana wasatiyyah usah ditafsir sebagai sederhana semata-mata kerana nanti kita terpalit dengan sindrom sederhana yang akhirnya melahirkan umat serba sederhana.

“Sederhana dalam pencapaian ilmu, ekonomi, pendidikan dan hampir semua ruang lingkup kehidupan,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO tidak boleh lagi berdiam diri dan membiarkan pihak lain lebih terkehadapan dalam mempertahankan asakan yang semakin kuat mencabar kedudukan agama, raja-raja, hak-hak istimewa orang Melayu dan bahasa.
Dalam pada itu, Khairul Anwar menambah, konsep kesederhanaan perlu diletakkan pada tempat yang betul misalnya tidak makan terlalu banyak kerana akan memudaratkan akal dan jiwa serta dalam berbelanja, berhias serta soal dunia.

Jelas beliau lagi, kesederhanaan juga perlu apabila berdepan dengan perbezaan pandangan dan bantahan terutama isu-isu cabang yang kecil serta jauh daripada persoalan pokok agama

Ada ketika katanya, konsep kesederhanaan tidak sesuai digunakan terutama melibatkan perjuangan berteraskan agama dan menegakkan undang-undang syariah.

Katanya, perjuangan dalam soal itu ada waktunya digalakkan dibuat secara berlebih-lebihan serta lebih lantang malah wajar mencapai tahap ekstrem demi mencapai keseimbangan.

“Soal iman, akidah dan ibadah misalnya, tidak boleh dikompromi dan tidak akan mencapai tahap keseimbangan jika kita sederhana sahaja dalam usaha mencapainya.

“Begitu juga dalam ruang kehidupan yang lain, bagaimana kita hendak mencapai taraf umat hebat jika sentiasa sederhana dalam latihan sukan, ulang kaji pelajaran, perancangan ekonomi dan sebagainya? Bolehkah kita menang peperangan jika tentera kita bersederhana dalam menggempur kubu musuh?. Bukankah saat-saat sedemikian kita perlu bersifat ekstrem, berjuang hingga ke titisan darah terakhir, membujur lalu melintang patah?,” soalnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/umno-wajib-berubah-lantang-bersuara-1.20054#sthash.AXKnjR8n.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.