UMNO Perlu Berubah - Syed Ali


Umno perlu berubah dan menjuarai isu-isu rakyat untuk kekal relevan dalam arena politik tanah air berbanding terus bernostalgia dengan cerita-cerita kejayaan parti, kata Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee. 
 
Beliau berkata lebih tumpuan perlu diberikan kepada pengundi di kawasan bandar memandangkan Umno hampir 'tidak relevan' di situ berbanding luar bandar yang menyaksikan peningkatan sokongan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13, Mei tahun lepas.Syed Ali berkata Umno perlu berterusan menyentuh kepentingan rakyat jika mahu mendapat sokongan khususnya daripada pengundi Melayu.

"Sokongan orang Melayu terutama di kawasan bandar semakin terhakis yang berpunca daripada ketidakupayaan Umno meyakinkan rakyat berhubung dengan pelbagai isu semasa. Barangkali di bandar, sikap pengundi dipengaruhi oleh sogokkan isu politik semasa yang sering dilakukan parti pembangkang, dan gagal pula ditangani oleh Umno secara berkesan.

"Ini bermakna kita perlu lebih agresif... dan lebih bersifat terbuka untuk menerima keahlian daripada mereka yang mempunyai latar belakang profesional. Dengan cara itu, barulah Umno boleh diremajakan dan bersemangat, untuk kembali diterima rakyat," katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu lepas yang menggesa Umno Selangor supaya berani mengatur strategi baharu dan membuat perubahan minda jika mahu menawan semula negeri itu.

Perdana menteri turut menggariskan tiga realiti yang perlu Umno Selangor terima, iaitu kedudukan Umno sebagai pembangkang di Selangor, kedudukan strategik Selangor sebagai pusat sosio-ekonomi yang rancak dan hakikat ia perlu berusaha menawan sokongan pengundi bandar serta pinggir bandar.

Syed Ali, yang juga Ketua Umno Bahagian Cheras, berkata tidak salah untuk memetik kejayaan Umno dan Barisan Nasional (BN) di masa lampau jika ia mampu menyuntik semangat pemimpin untuk bekerja keras demi kejayaan parti.

"Jika awak bercerita kepada rakyat tentang jasa pemimpin terdahulu contohnya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi sekarang apa pula jasa kita kepada rakyat? Tanyalah diri.

"Saya bukan nak hina Umno, tetapi saya mahu Umno terus menjadi denyut nadi orang Melayu. Dalam politik ada dua kategori pemimpin, satu yang benar-benar yang mahu berkhidmat demi rakyat dan satu lagi yang cari makan. Nilai di mana diri kita," tegasnya.

Justeru, Syed Ali berkata Perhimpunan Agung Umno pada 25 hingga 29 November ini perlu dijadikan medium untuk melonjakkan semula harapan rakyat dan anggota parti, sekaligus memperkukuhkan iltizam bagi memastikan parti terus mendapat sokongan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.