UMNO Perlu Berubah Demi Survival Melayu

Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, UMNO memerlukan barisan pemimpin berkualiti bagi menjamin kesinambungan perjuangan politik orang Melayu.

Ketua UMNO Bahagian Cheras itu menegaskan, senario masa kini memerlukan transformasi politik secara menyeluruh.
“UMNO perlu seiring dengan perubahan masa demi survival orang Melayu dan umat Islam di negara ini,” katanya dalam entri terbaru umnobahagiancheras.blogspot.com.

Ini jelas beliau, UMNO merupakan parti yang cukup sinonim dengan kehidupan orang Melayu sejak mula ditubuhkan sehingga sekarang.

“Jika UMNO dikuasai oleh mereka yang gila kuasa dan tidak boleh ditegur, lambat laun parti akan disisihkan oleh orang Melayu,” tegasnya.

Beliau berkata, pemimpin UMNO perlu menerima hakikat bahawa zaman sudah berubah dan pendekatannya juga berbeza.

Lagipun kata beliau, rakyat khususnya orang Melayu kini mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi.

Katanya, perubahan sosia-budaya orang Melayu turut memberi kesan terhadap perkembangan politik UMNO.

Orang Melayu tegas beliau, tidak lagi menyatakan sokongan terhadap mana-mana parti politik secara ‘suka-suka’.

“Mereka (orang Melayu) sudah celik, mereka mampu melihat sejauhmana parti itu berkesan dan diyakini boleh membela nasib mereka,” tegasnya.


Bagaimanapun beliau tidak menafikan orang Melayu juga mudah tergoda dengan hasutan fitnah dan politik provokasi.

“Mereka yang terperangkap dengan dakyah dan propaganda ini cenderung memihak kepada pembangkang,” ujarnya.

Dalam hal ini kata Syed Ali, UMNO masih bertuah kerana sebilangan besar orang Melayu tetap yakin dan percaya kepada UMNO.

Menurut beliau, walaupun ada penurunan undi orang Melayu terhadap UMNO pada PRU ke-13 tetapi masih lagi boleh diperbaiki.

“Ini menunjukkan UMNO tetap kekal relevan, masih sebati dengan kehidupan orang Melayu,’ Katanya.

Tambah beliau, generasi baru UMNO termasuk golongan muda semakin berilmu dan cukup matang membuat penilaian serta perbandingan.

Menurut beliau lagi, pemimpin berkualiti adalah pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat, sedia ditegur dan tidak gila kuasa.

“Sikap gila kuasa dan tidak boleh ditegur akan mengakibatkan berlaku kecelaruan politik dan perpecaan di kalangan ahli,” tegasnya.

Menurut beliau, pemimpin yang baik adalah mereka yang sedia dikritik dan boleh menerima teguran.

Lagipun orang Melayu jelas beliau, masih tebal dengan adat resam dan tetap berpegang kepada ajaran Islam.

“Oleh sebab itu, ada orang Melayu mudah berkecil hati jika pemimpin berperangai sombong dan tidak ikhlas, ini memberi kesan tidak baik kepada parti,” tegasnya.

“Apabila ada orang Melayu berkecil hati terhadap pemimpin UMNO, maka akan berlaku penolakan terhadap parti sepertimana berlaku pada PRU yang lalu.

Beliau mengingatkan, setiap pemimpin perlu bersikap terbuka dan sentiasa berpegang kepada keyakinan bahawa kuasa tidak kekal selama-lamanya.

Sehubungan itu katanya, pemimpin yang sepatutnya berundur seeloknya memberi laluan kepada barisan pelapis untuk meneruskan perjuangan parti.

Katanya, adunan generasi baru dan orang lama akan menjadikan UMNO bertambah kuat.
“Tidak perlu tamak kepada kuasa dan jawatan, UMNO memerlukan sokongan keseluruhan ahli-ahlinya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.