Pesalah Rasuah Bakal Didakwa Di Bawah 2 Akta Secara Serentak


Janji Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak memberi sebarang maaf kepada pemberi dan penerima rasuah benar-benar dikotakan apabila setiap pesalah jenayah kolar putih berkenaan akan didakwa di bawah dua pertuduhan secara serentak bagi tiap-tiap satu kesalahan.

Bermula 1 Oktober, arahan telah dikeluarkan kepada seluruh pegawai SPRM agar mana-mana pesalah rasuah yang terbukti terlibat perlu didakwa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bersekali dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011.
Ini bermakna, melalui pendakwaan tersebut, pesalah rasuah bukan sahaja perlu berdepan dengan penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi tetapi turut menghadapi hukuman penjara selama lima tahun atau denda RM5 juta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, langkah mengenakan dua pendakwaan se-rentak bagi setiap kesalahan ra-suah itu bertujuan memastikan hukuman lebih berat dikenakan ke atas para pesalah kerana pendakwaan sedia ada dilihat belum cukup menggentarkan mereka.

“Kita akan jalankan serentak, bukan sahaja kertas siasatan rasuah (tapi) kita bersertakan sekali dengan Akta Penggubalan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2011. Kita nak hantar mesej kepada pelaku ra-suah bahawa ini bukan sahaja tindakan tegas tetapi ia juga merupakan langkah pencegahan.

“Melalui kaedah ini, hukuman itu akan lebih terasa lagi. Harta yang diperoleh hasil daripada aktiviti rasuah bukan sahaja kita rampas tetapi segala harta itu boleh diambil tindakan kesalahan jenayah yang memungkinkan mereka dihukum penjara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Bulan lalu, Mohd. Syukri memberitahu bahawa SPRM tidak akan memberi sebarang maaf, sebaliknya bakal membanteras secara habis-habisan kegiatan rasuah melibatkan anggota agensi pe-nguat kuasa di seluruh negara dalam memastikan perbuatan ha-ram itu tidak berakar umbi dalam mana-mana jabatan kerajaan.

Ikrar itu dibuat SPRM berikutan amalan rasuah yang dikatakan semakin serius dalam kalangan anggota agensi penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan kerugian berbilion ringgit dan antara operasi dijalankan suruhanjaya tersebut ialah 2B-Kastam, Ops Belot, Ops Tukul, Ops Swasta serta Ops Ombak.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, dua aspek yang menyebabkan usaha untuk meme-rangi jenayah rasuah di peringkat akar umbi dalam masyarakat sering terbantut iaitu akibat lemahnya integriti anggota serta pegawai penguat kuasa terlibat selain wujudnya campur tangan oleh pihak tertentu.

Katanya, dalam aspek campur tangan misalnya, wujud kecenderungan pihak tertentu untuk memberi ‘arahan’ secara bersurat atau lisan bagi memaksa para pegawai pengu-at kuasa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perundangan menyebabkan mereka berada dalam keadaan tersepit jika enggan akur.

“Nasihat saya kepada pegawai mahu pun anggota penguat kuasa, jika wujud keadaan sedemikian sila datang kepada SPRM untuk diberi khidmat nasihat dan seandainya perlu satu surat akan dikeluarkan kerana jika mereka akur dengan ‘arahan’ tersebut, kaki-tangan awam yang berdepan de-ngan masalah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.