Pembahas Perlu Berani Bawakan Usul @IsmailSabri60


Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Ismail Sabri mengharapkan agar perbahasan kali ini akan dibahaskan dengan penuh terbuka, berani dan dapat membawa harapan serta suara akar umbi orang Melayu di negara ini.

Kata beliau, pembahas-pembahas usul juga perlulah membahaskan usul secara terbuka dalam setiap isu yang dibahaskan tanpa ada rasa takut dan tanpa ada sekatan.
“Saya percaya, dalam keadaan senario politik hari ini, pastinya bukan sahaja ahli-ahli UMNO tertunggu-tunggu perbahasan yang akan berlansung, begitu juga keseluruhan orang-orang Melayu di negara ini amnya.

“Begitu juga dengan ucapan Presiden kita, yang pastinya ditunggu-tunggu oleh semua perwakilan dan juga rakyat di negara ini untuk mendengar apa yang diperkatakan oleh beliau.

“Justeru itu, saya berharap agar perbahasan kali ini akan memperlihatkan satu perbahasan yang jujur, yang datangnya dari hati seorang pembela dan pejuang agama, bangsa dan tanahair, serta membawa suara dan hasrat dari akar umbi untuk didengari oleh pemimpin di peringkat tertinggi negara,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Seterusnya beliau mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan Agung UMNO 2014 pada perhimpunan Agung UMNO 2014 kali ini dan mengharapkan agar perhimpunan kali ini akan membawa satu idea-idea baru yang dapat memberikan manfaat untuk perjuangan UMNO dan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.