Virus 5B Bakal Musnahkan PAS - Datuk @ZainalRafique @TengkuAdnanReal


Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Rafique berkata, pergolakan dalaman serta perpecahan yang berlaku di dalam PAS hari ini membuktikan bahawa kerjasama mereka dengan DAP dan PKR hanyalah memudaratkan parti tersebut berbanding ketika Pas bergerak secara bersendirian sebelum ini.

Apa yang lebih menyedihkan, menurut beliau lagi, sindrom 3B iaitu Buli, Broker dan 'Barua' hari ini merupakan satu virus yang sedang menular di dalam PAS yang mampu menghancurkan perpaduan dalam kalangan pimpinan dan ahli parti itu sendiri.
"Virus ini akan terus merebak sehingga membuatkan ahli dan pimpinan akan bertelingkah sesama sendiri dan akhirnya akan berpecah belah. Pada pandangan saya, inilah yang akan berlaku di dalam PAS sekiranya isu perpecahan dalaman dan puak yang berlaku di dalam PAS tidak dapat diatasi dengan segera.

"Jika keadaan ini berterusan, saya menjangkakan sindrom 3B yang kini menjadi penyakit di dalam PAS akan bertambah dan merebak kepada 2B lagi iaitu bertelingkah dan bertelagah sesama sendiri. Dan sekiranya ini berlaku PAS bakal menghadapi perpecahan dalaman yang tidak pernah mereka alami sebelum ini," tegas beliau di sini hari ini.

Kata beliau lagi, krisis dan kemelut yang berlaku di dalam pakatan pembangkang ini merupakan satu isyarat bagi memperlihatkan kepada rakyat bahawa ketiga-tiga parti ini tidak mampu untuk mentadbir negeri, apatah lagi negara dengan baik.

"Bagaimana kita mahu menyandarkan harapan kepada sebuah pakatan parti politik yang tidak habis-habis bertelagah dan berpolitik sesama sendiri. Kita boleh lihat hari ini PAS, DAP dan PKR saling jatuh menjatuh dan mengecam sesama sendiri.

"Ketiga-tiga parti ini lebih banyak menghabiskan masa untuk kepentingan dan agenda politik kepartian serta ideologi masing-masing dan mengabaikan pembangunan serta penambahbaikan yang perlu dilakukan kepada rakyat di negeri yang diperintah oleh mereka.

"Contohnya seperti di Selangor, bermula dari langkah kajang yang hanya menghabiskan duit rakyat semata-mata untuk menjadikan isteri Ketua Pembangkang Menteri Besar, namun akhirnya orang lain pula yang dilantik. Sedangkan masalah rakyat seperti banjir, sampah dan air masih tidak selesai.

"Begitu juga di Pulau Pinang di mana kerajaan DAP lebih suka membangunkan rumah-rumah mewah untuk dijual kepada orang luar, berbanding membina rumah-rumah murah untuk membantu rakyat berpendapat sederhana dan miskin di negeri itu. Apakah kerajaan seperti ini yang kita mahukan, janji lain tetapi buatnya lain?" tegas beliau.

Justeru itu, beliau berharap agar rakyat melihat ketidakmampuan pakatan pembangkang dalam mentadbir dengan pemikiran yang rasional dan terbuka.

"Kita perlukan sebuah kerajaan yang lebih fokus untuk membantu rakyat menjadikan kehidupan yang lebih baik dari hari ini. BN telah membuktikan selama ini bahawa segala tindak tanduk serta perancangan mereka adalah khusus untuk kebaikan rakyat. Dan perkara ini telah terbukti dengan pembangunan baik dari sudut material, spiritual dan ini bukan sekadar cakap-cakap kosong sahaja sepertimana pembangkang," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.