Tapak Projek Brmasalah Punca Banjir Kilat Di Ibu Negara - Datuk Bandar #DBKL


Semua pemaju projek diberi amaran supaya tidak menjadi punca kepada kejadian banjir kilat setiap kali hujan lebat di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, pihaknya mendapati tapak-tapak pembinaan yang tidak mempunyai sistem tebatan banjir yang baik serta longkang tersumbat menyebabkan banjir kilat.
“Sejak kebelakangan ini, apabila hujan lebat, banjir mudah berlaku dan tapak-tapak projek yang bermasalah memburukkan lagi keadaan.

“Kita boleh memberikan arah­an untuk menghentikan kerja jika pemaju projek enggan mematuhi arahan supaya memastikan keadaan di tapak projek dalam keadaan sempurna,” katanya.

Ahmad Phesal mengulas kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di Jalan Ampang, Jalan Pinang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ipoh, Jalan Raja Chulan dan Kampung Baru setiap kali hujan lebat.

Dalam pada itu, beliau meminta­ orang ramai tidak membuang sampah sesuka hati sehingga menjejaskan longkang dan sungai di ibu negara sekali gus menyebabkan banjir kilat.

“Masalah banjir tidak akan selesai selagi masih ada pihak tidak mengubah sikap mereka walaupun DBKL dan beberapa agensi yang lain berusaha untuk mengekang masalah banjir kilat dengan pelbagai perancangan dan kaedah,” ujarnya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, lebih 1,000 pelancong turut berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan kaum India dan merasai juadah istimewa yang dihidang­kan.


Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.