Sudah Tamat Hayat Anwar Berpolitik - Syed Ali


Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menjelaskan hayat politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah berada di penghujung jalan.

"Jangka hayat politiknya sudah berkubur," tegas beliau sambil membidas Anwar yang masih lagi mumutarbelitkan fakta liwat untuk mempengaruhi pemikiran rakyat.

Selepas 'ketiadaan' Anwar kata beliau, senario politik di negara ini diharap tidak lagi tercemar dengan budaya politik songsang.
Ketua UMNO Bahagian Cheras itu mendakwa kerjaya politik Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh mula padam selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya dan dijatuhi penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan.

"Selepas didapati bersalah meliwat, Anwar hanya meniti hari-hari terakhir sebelum kerjaya politkknya sebagai pemimpin politik pembangkang berkubur," katanya.

Menurut beliau, era kepimpinan Anwar sudah lama berakhir dan rakyat bosan dengan sandiwara yang beliau mainkan selama ini.

Sehubangan itu, beliau mengingatkan penyokong Anwar tidak menjadikan 'jalanan' sebagai medan untuk mereka mengganggu prosiding selama dua hari bermula esok (Selasa) dan Rabu ini.

Dalam prosiding tersebut, Mahkamah Persekutuan akan mendengar ra­yuan Anwar untuk mengetepikan hukuman dan sa­bitan salah tersebut.

Selain rayuan Ketua Pembangkang itu, mahkamah juga akan mendengar rayuan balas pihak pendakwaan yang berusaha untuk menambah hukuman penjara tersebut.

Tambah Syed Ali, penyokong tegar pembangkang terutama daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu menghormati proses undang-undang.

Anwar pula tegas beliau, sewajarnya menerima untung nasibnya berikutan pensabitan beliau dalam kes meliwat.

"Anwar harus menerima qadha dan qadhar Tuhan, jangan menidakkan takdir," tegasnya.

Dalam hal ini tambah Syed Ali, adalah tidak wajar bagi Anwar untuk mengajak para penyokongnya berarak dijalanan bagi menggangu proses prosiding tersebut.

"Anwar sudah biasa melakukan kekacauan politik dijalanan dan tidak mustahil perkara yang sama akan dilakukan dalam usaha terakhir beliau membela diri," ujar beliau.

"Sebagai pemain politik yang sekian lama bergelumang dengan masalah moral, Anwar sepatutnya menerima apa jua keputusan mahkamah dengan hati terbuka.

Tambah beliau lagi, usaha Anwar untuk mendapat simpati masyarakat antarabangsa berhubung kes liwatnya juga sudah berkubur.

Katanya, negara barat tidak lagi menunjukkan simpati terhadap nasib Anwar kerana mereka sudah tahu muslihat dan onar politik beliau.

"Saya harap Anwar tidak menjadikan penyokong pembangkang sebagai perisai untuk membersihkan dirinya yang sudah terpalit dengan kes liwat," katanya.

Mengulas dakwaan sokongan penyokong PAS terhadap Anwar sudah terhakis, Syed Ali menjelaskan majoriti penyokong parti telah 'melihat kebenaran' disebalik perlakuan kotor Anwar.

"Bagaimanapun, saya yakin masih ada segelintir penyokong PAS daripada kumpulan 'Anwarinas' yang memihak kepada Ketua Pembangkang itu," ujarnya.

Syed Ali turut menyelar Anwar yang tidak habis-habis menyalahkan pemimpin UMNO terutama terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersabit kes moral yang dihadapinya.

"Anwar hanya tahu meletakkan kesalahan kepada orang lain, tetapi tidak pernah cuba untuk mengakui kelsalahan yang dilakukannya," tegas beliau.

Anwar yang kini sudah berusia 67, dijatuhi hukuman penjara lima tahun setelah disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 29, oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan itu pada 9 Januari 2012.

Menurut Seksyen 94 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Mahkamah Persekutuan boleh membuat keputusan serta-merta selepas selesai mendengar rayuan akhir Anwar itu atau menetapkan tarikh baharu untuk berbuat demikian.

Anwar yang kini diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.