Sekolah Satu Aliran Masyarakat Bukan Melayu Tidak Harus Risau - Dato' Dr Shafei Abdullah


Pelaksanaan sistem sekolah satu aliran dilihat sebagai amat penting bagi memupuk semangat perpaduan di antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah berkata, langkah itu berupaya memecahkan sentimen perkauman yang semakin menebal khususnya dalam kalangan generasi muda.
Menurut beliau, interaksi melibatkan pelajar pelbagai budaya dalam sekolah satu aliran diyakini akan membina masyarakat yang lebih memahami di antara satu sama lain.

“Jika hendak buat secara mengejut, memang agak sukar tetapi kita perlu mulakan dari sekarang dan Kementerian Pendidikan boleh mula merancang untuk melaksanakannya dalam masa lima tahun akan datang.

“Kita boleh mulakan di peringkat sekolah menengah supaya pelajar tidak kekok untuk menyesuaikan diri dengan kaum lain apabila mereka dewasa kelak,” katanya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini secara peribadi mencadangkan hanya sekolah satu aliran diwujudkan dalam sistem pendidikan negara demi mencari titik pertemuan dalam kalangan rakyat bermula di peringkat persekolahan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, jurang pelebaran antara kaum di negara ini semakin meluas kerana aliran persekolahan tidak diperbetulkan sejak awal.

Mohd. Shafei menambah, masyarakat bukan Melayu tidak seharusnya berasa bimbang dengan cadangan tersebut kerana pengajaran bahasa ibunda tetap diteruskan di sekolah satu aliran.

Beliau turut berkongsi pengalamannya sendiri ketika belajar di sekolah aliran Inggeris yang pada pemerhatiannya, berjaya mengintegrasi pelajar berlainan kaum dan agama.

“Pada masa dahulu, kita semua bercampur gaul malah kami masih mengekalkan hubungan persahabatan yang mula dijalin semasa di sekolah sehingga sekarang,” katanya.

Mohd. Shafei juga bimbang negara akan hancur sekiranya kajian semula tidak dilakukan terhadap sistem pendidikan vernakular di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi seperti yang diamalkan sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.