Nasihat PM Tepat, MCA Kena Tunjuk Kerja & Jangan Meminta-Minta - Syed Ali

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee menegaskan, nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Perhimpunan Agung MCA di Wisma MCA Kuala Lumpur semalam, bahawa parti itu tidak boleh meminta-meninta kepada Barisan Nasional (BN) tetapi menyokong Pakatan Rakyat adalah tepat dan kena pada masanya.

Kata Syed Ali, MCA kena tunjuk prestasi kerja dan jangan bersikap meminta-minta sehingga meresahkan anggota UMNO. Apa yang dikatakan Perdana Menteri tentang persepsi orang Cina banyak ‘bermain wayang’ dan menjadi ‘duri dalam daging’ sudah dapat dijejak sejak Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU 12 dan Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13).
Menurut Syed Ali, selama ini kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak pernah meminggirkan kepentingan mana-mana kaum termasuk orang Cina di negara ini.

Setiap kali diadakan pilihan raya umum dan kecil, kerajaan BN sentiasa berusaha merealisasikan tuntutan dan kemahuan kaum itu. Malangnya selepas keputusan diumumkan orang Cina memberikan undi kepada Pakatan Rakyat.

“MCA kena jujur dan ikhlas dalam perjuangannya bersama-sama BN. Apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Perhimpunan Agung MCA semalam memang ada asas dan faktanya.

“BN memerlukan sokongan yang lebih dari masyarakat Cina malangnya undi kaum itu dilihat semakin merosot dalam dua pilihan raya umum lalu dan terbaru di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor,” katanya.

Syed Ali turut menyelar mana-mana pemimpin MCA hanya tunjuk muka dalam program-program UMNO dan BN tanpa mengemukakan sebarang program untuk komuniti masing-masing.

Katanya, MCA kena bergerak seiringan dengan UMNO dalam memastikan pengundi Cina terus memberikan sokongan kepada BN.

Menurut Syed Ali, ada juga segelintir pemimpin MCA yang bercakap seolah-olah mereka berada dalam DAP bila menyentuh isu perkauman seharusnya dielakkan. Ini bagi mengelakkan anggota UMNO salah faham dan menganggap parti itu hanya mengejar kepentingan dri tanpa sebarang usaha mendekati pengundi Tionghua agar kembali menyokong BN.

“Saya mahu tegaskan di sini bahawa pemimpin MCA jangan sekadar tunjuk muka dalam program-program UMNO dan BN. MCA kena berusaha memenangi hati dan isu pembelaan masyarakat Cina di negara ini.

“PRU 14 akan berlangsung dalam beberapa tahun lagi. Namun apa yang saya perhatikan dalam kempen PRK DUN Pengkalan Kubor misalnya, MCA tidak nampak bersungguh-sungguh untuk memenangi hati masyarakat kaum itu di DUN berkenaan.

“Takkan selamanya MCA mahu mengharapkan kempen dan gerak kerja UMNO dalam memenangkan calon-calon MCA yang bertanding dalam pilihan raya umum. MCA kena wujudkan jentera dan bekerjasama dengan UMNO kalau mahu diterima oleh masyarakat Cina,” katanya.

Pada masa yang sama, Syed Ali turut menegur, Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon dalam ucapan Perhimpunan Agung Pemuda MCA Ke-50 Sabtu lalu tentang kemungkinan formula asas perkongsian kuasa BN perlu diatur semula supaya semangat berkongsi kuasa dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Kata Syed Ali, Pemuda MCA kena menumpukan kepada gerak kerja memenangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang dan bukannya bercakap dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.

Menurutnya, Pemuda MCA kena faham bahawa dasar perkongsian kuasa yang selama ini diamalkan oleh BN berjaya meletakkan negara pada landasan perpaduan yang kukuh, dengan lain matlamat tiada mana-mana bangsa tercicir dari menikmati arus perdana pembangunan negara.

“Melalui perkongsian kuasa ini juga orang Cina berjaya meraih peluang-peluang ekonomi tanpa perasaan iri hati dari kaum-kaum lain di negara ini. Bagi saya format perkongsian kuasa yang diterjemahkan oleh BN sejak merdeka dan sehingga ke hari ini adalah yang terbaik dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Bagi saya Pemuda MCA kena memberikan tumpuan menarik sokongan pengundi muda Cina kepada BN. Pemuda MCA kena perbanyakkan program-program bersifat ketatanegaraan kepada golongan muda terutamanya agar lebih bersikap patriotik kepada tanahair.

“Pada hari ini ramai anak-anak muda Cina terutamanya yang menggunakan laman sosial untuk mengutuk institusi Perdana Menteri, pemimpin-pemimpin kita dan agama Islam menjadi agama rasmi negara ini.

“Bagi saya Pemuda MCA kena melihat jauh ke depan bagaimana menghayati semangat cintakan negara. Soal perkongsian kuasa ini bukan hanya melibatkan kepentingan masyarakat Cina semata-mata tetapi keutamaan turut diberikan kepada kaum-kaum lain India, Iban, Kadazan, Murut dan sebagainya yang sentiasa dilayan sama rata dan adil oleh BN,” katanya.

Menurut Syed Ali, Ketua Pemuda MCA kena memikirkan cara mana mengembalikan sokongan pengundi Cina kepada BN dalam PRU 14 dan bukannya cuba menjadi jaguh di kalangan kaum sendiri dengan bercakap perkara-perkara sensitif yang membuatkan orang lain beranggapan seolah-olah Ketua Pemuda MCA menyuarakan pandangan DAP yang selama ini bercita-cita mewujudkan misi ‘Malaysian, Malaysia’.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.