Lot Kedai Chow Kit Ditambah Tapi Jangan Sewakan Pada Pendatang Asing Pula

Hampir 500 lot kedai ditambah dalam projek naik taraf Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit sekali gus mampu menawarkan lebih banyak peluang perniagaan.

Timbalan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Datuk Seri Mat Shah Sapuan berkata, kira-kira 1,200 peniaga sedia ada turut disediakan ruang secukupnya supaya lebih selesa.

“Dengan penambahan lot-lot gerai ini, lebih banyak peluang peniagaan ditawarkan, terutamanya buat generasi muda yang berminat.

“PKB juga menyediakan kursus asas perniagaan secara percuma kepada Bumiputera, terutamanya anak-anak Kampong Bharu,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Tabung Titiwangsa Pray For Gaza 2014.

Mengulas lanjut, katanya, proses naik taraf pasar itu berjalan lancar malah sebahagian besar peniaga dipindahkan ke tapak perniagaan sementara.

“Kita juga dalam proses mengeluarkan tender untuk lantikan kontraktor bagi pembinaan bangunan pasar yang baru,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, beliau puas hati dengan perkembangan projek naik taraf berkenaan namun ada yang perlu diberi perhatian terhadap peniaga.

“Seramai 18 peniaga yang telah dipindahkan sementara berdepan masalah. Perniagaan mereka tak dapat sambutan sebab kedudukan yang agak tersorok.

“Perkara ini kita sedang bincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kerana saya juga sokong mereka ini diberi tempat yang lebih strategik. Kalau mereka rugi berterusan, boleh jejaskan modal untuk mereka mulakan peniagaan di gerai baru,” katanya.

Projek naik taraf Pasar Chow Kit memperuntukan kos berjumlah RM150 juta dan dijangka siap pada 2017.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.