Kuala Lumpur Masih Selamat - Datuk Bandar


Kejadian letupan bom di Bukit Bintang di sini, pada Khamis lalu tidak akan menjejaskan keyakinan warga kota dan pelancong asing terhadap tahap keselamatan di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Thalib berkata, beliau yakin Kuala Lumpur selamat untuk dikunjungi dan orang ramai tidak perlu panik dengan insiden yang dipercayai berpunca akibat pertembungan antara kumpulan gengster dan kongsi gelap itu.
"Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar bersama pelbagai jabatan kerajaan lain berusaha untuk menggempur aktiviti-aktiviti haram supaya Kuala Lumpur dapat dibersihkan daripada anasir yang mengancam keselamatan.

"Kawalan keselamatan dari segi penguatkuasaan dan rondaan di kawasan tumpuan pelancong seperti di Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan KLCC akan ditingkatkan untuk memberi keyakinan bahawa Kuala Lumpur adalah bandar raya selamat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pementasan teater, MUD: Our Story of Kuala Lumpur (Mud) di Panggung Bandaraya di sini, hari ini.

Pementasan teater itu adalah hasil cetusan idea oleh Datin Seri Tiara Jaquelina melalui produksinya Enfiniti Vision Media bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Teater itu merupakan produk pelancongan baharu yang diperkenalkan kepada pelancong luar dan dalam negara mengenai perkembangan pesat Kuala Lumpur dari zaman perlombongan bijih timah sehingga kini.

Dalam kejadian Khamis lalu, seorang pekerja joki kereta maut dan 12 lagi cedera ekoran serangan bom tangan yang dipercayai melibatkan perebutan kawasan kumpulan kongsi gelap di hadapan sebuah kelab malam, Sun Complex, Bukit Bintang.

Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.