Kerajaan Diminta Mengkaji Semula Takrif & Ukuran Pendapatan Miskin Bandar - Datuk Ahmad Fauzi


Kerajaan diminta mengkaji semula takrif dan ukuran pendapatan miskin bandar di negara ini bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai golongan itu berdasarkan taraf kehidupan mereka.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, kajian itu perlu kerana profil kemiskinan bandar telah bertukar sepanjang tempoh lima hingga 10 tahun ini berdasarkan perubahan dan beban kos sara hidup yang tinggi.
"Berbanding dahulu, kos sara hidup tidaklah tinggi seperti hari ini.

"Ini kerana jika dilihat di bandar raya Kuala Lumpur misalnya, kos hampir semua keperluan adalah tinggi sehingga masuk tandas pun dikenakan bayaran.

"Kalau dibuat perbandingan dengan miskin di luar bandar, miskin-miskin mereka pun masih ada tanah dan rumah sendiri, tetapi miskin bandar mereka tidak memiliki apa-apa aset," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dua juta isi rumah di negara ini adalah miskin bandar dengan pendapatan di bawah RM3,000 sebulan seperti yang disiarkan Utusan Malaysia hari ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sehubungan itu kerajaan akan terus meningkatkan pendapat­an rakyat seiring dengan gerakan kos hidup dan seterusnya menikmati kehidupan yang lebih baik.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) berhubung Model Baru Ekonomi (MBE) dan pergerakan gaji serta pendapatan per kapita rakyat menjelang 2020 dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas lanjut mengenai pembentangan Bajet 2015 Ahmad Fauzi berkata, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada penyediaan pengangkutan awam yang lebih cekap dan berkesan.

"Beban yang ditanggung rakyat yang termasuk kategori miskin bandar akan berkurangan apabila mereka memilih pengangkutan awam, " katanya.

Tambah, kerajaan juga perlu melihat kesan pengurangan subsidi minyak baru-baru ini kerana ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

"Pemantauan secara berterusan perlu dilakukan bagi memastikan rakyat tidak terus terasa terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.